`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, February 6, 2025

Zayn Rayyan disembunyi ‘hantu’, dakwa saksi

 

Zayn Rayyan
Jasad kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dijumpai dekat sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada 6 Dis 2023, sehari selepas kehilangannya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA
Seorang saksi mengaku percaya kepada unsur mistik tertarik untuk mencari di sungai kerana merasakan Zayn Rayyan Abdul Matiin disembunyikan “hantu”, mahkamah sesyen diberitahu.

Ahmad Nur Syaruddin Mad Zawawi berkata, dia dan rakan-rakannya pada malam 6 Dis 2023 kembali ke Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, di mana kanak-kanak lelaki itu kali terakhir dilihat ibunya sehari sebelum.

Saksi yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan, berkata demikian menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Aqrie Durranie Aziz sama ada sesiapa memberitahunya melakukan pencarian di kawasan berkenaan.

“Tiada yang maklumkan apa-apa, kami terasa, sebab orang Islam fikir kadang-kadang perkara mistik,” kata Nur Syaruddin, 36, ketika memberikan keterangan.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguambela, Haresh Mahadevan, berkait apa dimaksudkan sebagai unsur “mistik”, saksi berkata: “Kita sebagai orang Islam percaya kepada perkara mistik seperti hantu dan syaitan. Kita masih percaya perkara itu.”

Haresh: Jadi kamu percaya ada unsur mistik dalam penemuan jasad Zayn Rayyan?

Nur Syaruddin: Bukan pada penemuan jasad, masa awal kehilangan saya sangka dia disorok oleh hantu.

Saksi itu berkata, dia mencari kanak-kanak lelaki itu di kawasan hulu bersama sekumpulan rakannya sehingga ke kawasan di mana mayat Zayn Rayyan ditemukan.

Awal hari ini, seorang saksi, Faizul Najib Abd Munaim, memberi keterangan menjumpai mayat Zayn Rayyan menerusi penggunaan lampu suluh, berdekatan tebing pasir sungai.

Nur Syaruddin berkata, dia dan kumpulannya mengikuti rapat Faizul.

Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, kedua-dua berusia 30 tahun, minta dibicarakan atas tuduhan pengabaian kanak-kanak, pada 13 Jun tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa berlaku di PJU Damansara Damai antara tengah hari pada 5 Dis dan 9.55 malam, pada 6 Dis 2023.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, boleh dihukum denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan, yang menghidap autisme dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dengan mayatnya dijumpai di sungai berdekatan Apartmen Idaman Damansara Damai, hari berikutnya.

Pendengaran di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung esok. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.