
Tiada bayi kembar hilang di Hospital Kuala Lipis seperti dakwaan di media sosial, kata Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).
Dalam kenyataan JKNP berkata, pihaknya memandang serius berhubung laporan kes tular di media sosial bertajuk ‘Sepasang bayi kembar hilang dilarikan oleh doktor palsu di Hospital Kuala Lipis’, semalam.
Katanya, hantaran di Facebook itu menyatakan bayi kembar yang didakwa dirawat selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis dan dilaporkan hilang semalam, dilarikan oleh ‘doktor palsu’ bernama Dr Amalina Husna.
“Siasatan awal dilaksanakan dan mendapati tiada bayi kembar seperti didakwa telah menerima rawatan selama sembilan bulan di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lipis. Kali terakhir ibu berkenaan menerima rawatan di Hospital Lipis adalah pada Julai 2024.
“Manakala bagi dakwaan wujudnya ‘doktor palsu’ bernama Dr Amalina Husna yang merawat ‘bayi’ selama sembilan bulan di Hospital Kuala Lipis pula, didapati tiada rekod bagi kewujudan doktor tersebut pernah bertugas di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
JKNP berkata, laporan polis dibuat pengurusan tertinggi Hospital Kuala Lipis bagi mengelakkan berita tidak berasas disebarkan sewenang-wenangnya.
Katanya, ia boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti pengurusan khususnya JKNP serta perawatan di Hospital Kuala Lipis.
“Orang ramai diingatkan berhati-hati dalam penyebaran maklumat jika tidak pasti kesahihannya,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.