Polis lancar siasatan selepas terima dua laporan daripada keluarga warga emas berkenaan.

Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan, berkata polis menerima dua laporan daripada keluarga warga emas berkenaan, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan.
“Satu kertas siasatan sudah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, manakala satu lagi masih dalam siasatan.
“Polis sedang mengumpul keterangan dan bukti bagi mengenal pasti kejadian sebenar,” katanya.
Terdahulu, ahli keluarga seorang warga emas terbabit yang enggan dikenali mendakwa ibunya berusia 76 tahun dihantar ke pusat jagaan tersebut sejak Disember tahun lepas. Difahamkan, sehari kemudian pihak pengurusan memaklumkan bahawa wanita yang menghidap demensia itu terjatuh dari katil.
Mangsa juga didakwa mempunyai kesan lebam selain terdapat kecederaan pada badan, malah ahli keluarganya dikatakan pernah melihat kaki dan tangan mangsa diikat pada palang katil besi sewaktu datang melawat.
Sementara itu, seorang warga emas lelaki berusia 69 tahun yang ditempatkan di pusat jagaan sama sejak September 2024, didakwa mengalami nasib serupa.
Pengusaha pusat jagaan tersebut menafikan berlakunya penderaan terhadap penghuni.
Pengusaha itu berkata pihaknya akan memaklumkan kepada ahli keluarga dengan segera sekiranya berlaku kecederaan, manakala berhubung dakwaan mangsa diikat, tindakan itu untuk keselamatan dan hanya dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada keluarga. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.