Operasi SAR tujuh lagi mangsa diteruskan dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor dari Lata Jebus ke Lubuk Pertak, Jambatan Dam dan kawasan empangan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata mangsa ditemui di kawasan Jambatan Pertak pada 1.30 pagi tadi.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa diteruskan dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor.
“Sektor A dari Lata Jebus ke Lubuk Pertak, Sektor B dari Lubuk Pertak ke Jambatan Dam, Sektor C pula membabitkan kawasan Jambatan Dam, manakala Sektor D di kawasan empangan,” katanya menurut Berita Harian.
Terdahulu, JBPM menerima panggilan kecemasan pada 5.55 petang semalam berhubung kejadian kepala air di kawasan Sungai Pertak.
Berdasarkan maklumat awal, seorang lelaki warga Yaman berusia 20 tahun dihanyutkan arus ketika berkelah dengan empat individu lain, yang kemudiannya disahkan terselamat.
JBPM kemudian menerima maklumat satu lagi kumpulan di Lata Jebus, dengan tujuh individu dilaporkan dihanyutkan arus dan beberapa mangsa lain terselamat atau terkandas.
Pasukan penyelamat turut menerima laporan mengenai kumpulan yang terkandas di Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah.
Seramai 19 mangsa yang terkandas dibawa turun dengan selamat pada 12.16 tengah malam tadi.
Polis sedang mendapatkan maklumat bagi mengesahkan jumlah sebenar mangsa hilang. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.