Wednesday, May 1, 2013
Apabila MB Di Panggil Pakcik
“ASSALAMUALAIKUM,” laung seorang anak muda sambil tertinjau-tinjau di sisi bangunan pinggir Terusan Wan Mat Saman yang selari dengan jalan Alor Setar - Sungai Petani, pada suatu pagi dua tahun lalu.Seketika kemudian, kedengaran suara salam dijawab dari belakang bangunan.
Anak muda bertubuh tinggi, berambut lebat itu segera mencari arah datangnya suara. Tiba di sana, dilihat sekumpulan empat lelaki agak baya sedang bersembang di satu ruang yang pintunya terbuka.
Seorang daripada mereka - yang paling tua - berbaring di pangkin.“Saya Rizal, skuad Sinar (Harian) baru di kawasan Yan,” kata anak muda itu dengan senyuman seperti dipaksa. Dia dipersilakan masuk.
Lelaki yang berbaring di pangkin bangun. Setelah berbasa basi untuk seketika, lelaki itu bertanya: “Hang tau dak saya ni sapa?”“Minta maaf pakcik, saya tak tau ...,” jawab si anak muda, jujur.“Tak pa, hang boleh tanya depa ni,” balas lelaki itu yang berkain pelikat dengan baju pagoda.
Barang kali kerana kasihan kepada si anak muda, seorang lelaki lain kemudian berkata: “Inilah Ustaz Azizan, Menteri Besaq Kedah.”Anak muda itu hilang kata-kata! Dia seperti tidak percaya.“Saya bukan tak kenal MB Kedah, tapi hari tu dia nampak lain sangat.
Dengan baju pagoda, kain pelikat, tak pakai cermin mata, kopiah pun tak pakai... itu yang saya panggil dia Pakcik,” kata Rizal mengimbas peristiwa itu kepada saya beberapa minggu kemudian.Ya, mungkin ramai yang tidak tahu, Ustaz Azizan sejak dilantik menteri besar, tidak pernah menghuni Seri Mentaloon di Alor Setar.
Kediaman rasmi MB Kedah itu hanya diguna untuk acara rasmi.Dia masih tinggal di rumah lamanya di bahagian belakang bangunan Markas Pas Jerai di Batu 15, Padang Lumat, dekat Guar Chempedak itu selain sebuah lagi rumah di Jalan Sultanah, Alor Setar yang dibeli daripada keluarga mertuanya.Walaupun sudah bergelar MB, Ustaz Azizan masih mengekalkan gaya hidup biasa.
Setiausaha akhbarnya, Helmi pernah menceritakan, Azizan hingga sekarang jika mahu beli seluar, baju, tempatnya adalah sebuah kedai di Pekan Simpang Empat Kangkong.“Dia selalu suruh aku pi kedai tu, Kedai Timor.
Kata dia, baju, seluaq di kedai tu murah-murah. Kita sendiri tak sanggup pakai yang tak dak brand macam tu,” kata Helmi. Difahamkan, kebanyakan baju yang dipakainya berharga tidak lebih RM20 sehelai.Selain Kedai Timor, Azizan juga biasa beli pakaian di sebuah kedai India Muslim di Lebuh Chowrasta di Pulau Pinang.
“Satu hari, mamak kedai tu mungkin sebab baru perasan tengok muka Ustaz di TV, dia kata, Haji, ini hari saya tak mau jual lagi pada Haji. Ustaz tanya, sebab apa? Dia kata, sekarang Haji sudah jadi menteri, orang besaq.
Elok pakai baju, seluaq yang tempah, bukan yang dia jual,” katanya.Ustaz Azizan tetap Ustaz Azizan.Tidak lama dulu, saya dijemput hadir kenduri kahwin anaknya di Kampung Teras Jernang, Bangi. Lokasi kenduri sebuah rumah kampung tidak jauh dari kampus UKM.Ketika bersalam, Ustaz Azizan berpesan, “mai makan kenuri sudah naa, jang dok buat berita buh dalam surat habaq.
”Selepas makan, saya bertanya kepada setiausaha politiknya, Sanusi, apa sebab Ustaz tak buat kenduri di Alor Setar?Jawab Sanusi: “Ini kenduri kahwin anak yang kedua dia buat lepas jadi MB. Kali pertama di Kedah.
Belanja terlalu tinggi (sebab nak kena sedia hidangan banquet). Untuk tampung kos, Ustaz terpaksa pinjam dari beberapa orang exco RM20,000 seorang.“Kali ni dia tak sanggup nak meminjam lagi, sebab itu dia buat di sini. Di sini tak perlu nak jemput orang-orang besar sebab kenduri kampung saja,” katanya.
Ujar Sanusi lagi, Ustaz Azizan cukup menjaga integriti dan dia tidak mahu ada pihak ambil kesempatan menaja majlis peribadinya.“Sebagai menteri besar, apa yang dia buat ini memang ambik risiko. Mungkin ada yang berkecil hati apabila dia tidak buat kenduri kahwin anak di Kedah.
Tetapi inilah prinsip Ustaz yang tidak mahu timbul fitnah dalam pentadbirannya,” katanya.Cerita mengenai Ustaz Azizan mengingatkan saya kepada Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, MB Kedah kelapan yang memerintah antara 1999 hingga 2005.Syed Razak adalah contoh pemimpin yang sangat ‘down to earth’.
Sudah banyak kali saya lihat sendiri cara Syed Razak berdepan dengan rakyat yang mendorong saya buat kesimpulan, dia pemimpin yang sangat baik, bukan buat-buat baik!Ketika hadir kenduri di sebuah kampung di Kubang Rotan, belum pun kami yang lain sempat keluar dari kereta, dia awal-awal saya lihat sudah menyeberang titi usang untuk ke rumah kenduri di seberang tali air.
Tiba di rumah itu, dia cuba bersalam dengan 100 peratus orang yang ada, tidak kira siapa pun mereka hingga ditegur oleh seorang lelaki, “Datuk tok sah (tak usahlah) dok mai la bersalam dengan kami ni, Datuk tu menteri, kami ni gedohok (pembantu kenduri) saja. Datuk tok sah mai tang ni, sat gi kotoq habih seluaq kasut!”Lalu dijawab oleh Syed Razak: “Hangpa jangan dok kata lagu tu! Tak dak hangpa, tak dak kenduri.”Selepas habis bersalam, dia melangkah masuk ke dalam rumah kenduri tanpa sebarang rasa kekok.
Gayanya menunjukkan dia sudah terlalu biasa dengan tuan rumah, orang kampung dan juga keadaan di rumah itu.Rupa-rupanya Syed Razak mencari seseorang - tuan rumah - yang uzur dan terbaring di katil berhampiran dapur.
Melihat menteri besar datang, lelaki warga emas yang membahasakan dirinya sebagai Pak Long cuba untuk bangun.Ketika tangannya diurut-urut oleh sang menteri, Pak Long berkata: “Pak Long ni sabit (bersebab) tak mengaji (bersekolah tinggi).
Kalau tidak, Pak Long tak biaq kat dia ni (Syed Razak) jadi menteri besaq, Pak Long pun nak jadi (menteri besar) jugak.”Kata-kata Pak Long dibalas oleh Syed Razak: “Orang tua ni, dok terkedang (terbaring) atas katil pun nak bercakap politik lagi.
Sudah-sudahlah tu ...”Kami semua tertawa.Apa yang dapat anda simpulkan jika anda berada di tempat saya?Ini satu daripada banyak peristiwa menyentuh hati saya mengenai kemesraan Syed Razak.Rakyat Kedah kini di persimpangan sama ada mahu mengekalkan kerajaan sekarang dengan Ustaz Azizan juga dikekalkan sebagai menteri besar, ataupun ini kali mahu tukar kepada menteri besar yang baru pula.
Soalnya, jika mereka mahu tukar kepada BN, apakah Datuk Mukhriz Mahathir sedia untuk jadi pemimpin yang ‘down to earth’ seperti Syed Razak?Selamat mengundi! ~sinar harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.