`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 30, 2013

Pemilihan Umno hasil pindaan perlembagaan 2009

Tujuh pindaan terhadap perlembagaan Umno pada Oktober 2009 menjadikan pemilihan kali ini menarik perhatian ramai.
KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam sejarahnya, Umno sebagai parti terbesar orang Melayu, akan menyaksikan pemilihan jawatan tertinggi parti dengan cara yang berbeza dan unik, melalui proses demokrasi yang lebih meluas dan sekali gus menguji kematangan akar umbi parti.
Beberapa fakta berikut yang muncul setelah tujuh pindaan dibuat terhadap perlembagaan Umno yang diluluskan perwakilan pada Oktober 2009 menjadikan pemilihan kali ini menarik perhatian ramai:
  • 146,500 anggota peringkat akar umbi akan memilih secara langsung pucuk pimpinan parti berbanding 2,500 orang perwakilan sahaja sebelum ini. Mereka juga akan memilih langsung pimpinan di bahagian masing-masing.
  • Hapusnya sistem kuota yang sekali gus membuka ruang seluas-luasnya kepada anggota untuk bertanding dengan syarat minimum bagi pertandingan mana-mana jawatan Majlis Tertinggi ialah pernah memegang jawatan Anggota Majlis Tertinggiatau Anggota Jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal.
  • Syarat untuk bertanding AJK bahagian ialah telah menjadi anggota parti selama tiga tahun.
Sebelum pindaan perlembagaan parti, jawatan tertinggi parti memerlukan seseorang yang mahu bertanding terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno iaitu:
  • Presiden – 30 peratus atau sokongan daripada 57 bahagian
  • Timbalan Presiden – 20 peratus atau 38 bahagian
  • Naib Presiden – 10 peratus atau 19 bahagian
  • Anggota Majlis Tertinggi – 5 peratus atau 10 bahagian
  • Ketua Pemuda – 20 peratus atau 38 bahagian
  • Ketua Wanita – 20 peratus atau 38 bahagian
  • Ketua Puteri – 20 peratus atau 38 bahagian
Selain itu, untuk jawatan naib bagi ketiga-tiga sayap parti itu pula, hanya perlu mendapat sokongan sebanyak 28 bahagian atau 15 peratus.
Kematangan
Persoalan yang timbul ialah sejauh manakah perwakilan mampu menunjukkan kematangan mereka dalam proses pemilihan kali ini?
Menurut penganalisis politik Dr Ibrahim Ghafar, ramai yang memerhatikan sama ada dengan penghapusan kuota itu, jawatan tertinggi akan turut direbut oleh sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka layak.
“Jika itu terjadi tidakkah pemilihan Umno akan menjadi pentas bagi berhibur dan sesuka hati menawarkan diri atau mencuba nasib kalau-kalau terpilih atau ada yang ditaja oleh pihak luar yang mahu rakyat melihat Umno sebagai sebuah parti sarkas?,” tanya beliau.
Ibrahim berkata banyak orang banyaklah pandangan peribadi termasuk mereka yang serius menawarkan diri setelah layak kerana sudah menjadi AJK bahagian dan mahu menempa nama dalam sejarah dengan bertanding sebagai presiden Umno atau timbalannya.
“Mudah-mudahan ini tidak akan terjadi dalam parti keramat bagi orang Melayu ini. Namun kita harus lihat kemungkinannya kerana sekarang tiada lagi sebarang halangan apa pun,” katanya, yang percaya jumlah kuota sokongan tertentu masih perlu diterapkan.
“Bagaimana pula kalau ada 100 atau 1,000 anggota mencalonkan diri. Tidakkah menimbulkan masalah teknikal bagi jawatankuasa pemilihan? Jika ini terjadi dari mana Umno akan menggamit kekuatan dan kesepaduan sokongan kepada pucuk pimpinan?” tambah beliau yang mengakui risau.
Mengakui bahawa pandangannya agak terlambat disuarakan, beliau percaya masih ada ruang dan masa bagi jawatankuasa pemilihan parti untuk memperkemas syarat atau peraturan tambahan yang logik untuk membolehkan penawaran diri sebagai calon.
Ibrahim berkata banyak cara lagi boleh dibuat untuk mencerminkan amalan demokrasi yang telus dan meluas dalam parti dan satu daripadanya telahpun dipersetujui iaitu membenarkan pemilihan langsung oleh 146,500 anggota.
Politik wang
Menarik juga untuk diperhatikan ialah adakah pindaan perlembagaan yang membolehkan anggota yang sebegitu ramai terlibat dalam pemilihan akan mampu menghapuskan secara total gejala politik wang?
Penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali berkata gejala politik wang  mampu dikurangkan apabila Umno menambah jumlah perwakilan kepada 146,500 orang pada pemilihan kali ini.
“Ini selaras dengan apa yang dikehendaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun seperti lazimnya sesuatu yang baharu seperti pindaan kepada perlembagaan ini contohnya akan memerlukan masa untuk menghapuskan sepenuhnya politik wang,” katanya.
Beliau berkata ia boleh menjadi langkah yang berkesan menghapus politik wang asalkan ada pemantauan yang ketat manakala jumlah perwakilan yang banyak itu juga dengan sendirinya menyukarkan pihak yang berniat melakukannya kerana pastinya tidak mampu dijangkau.
Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu berkata sekali gus persepsi kroni atau nepotisme yang dilemparkan kepada Umno kini diserahkan kepada perwakilan yang akan memilih pucuk pimpinan parti.
“Sekiranya selepas pemilihan masih ada suara-suara yang menyatakan Umno mengamalkan nepotisme atau kroni, ini adalah salah perwakilan kerana mereka yang memilih langsung,” katanya.
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.