Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA memperingati ulang tahun ke-45 ia memulakan operasi pada 20hb Mei. Sejak tarikh itu pada tahun 1968, BERNAMA melalui kemajuan dan peningkatan dalam tugasnya selaku agensi berita. BERNAMA kini bukan sahaja bergerak selaku agensi berita tetapi sebgai sebuah stesen penyiar - radio dan televisyen - selain dalam bidang perhubungan awam dan khidmat rundingan.
BERNAMA ditubuh melalui Akta Parlimen pada 6hb April, 1967 dan pelancaran secara rasmi diadakan pada 30hb Ogos, 1967 sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara. Majlis pelancaran diadakan di bangunan Parlimen dengan dihadiri oleh Perdana Menteri almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Jemaah Menteri.
Sepanjang kewujudannya, kakitangan BERNAMA tidak terlepas daripada bergerak cergas dalam kesatuan sekerja yang berperanan melindungi dan membela nasib petugas terutama peringkat sokongan. Ini dapat dilihat melalui sekeping foto yang dirakam pada tahun 1985 yang menunjukkan ahli kesatuan sekerja BERNAMA berpiket menyokong tuntutan gaji oleh CUEPACS. Setahu saya, itulah kali pertama dan terakhir pihak kesatuan sekerja BERNAMA berpiket.
Sejak memulakan operasi di sebuah banglo kerajaan beralamat 222 Jalan Pekeliling (sekarang Jalan Tun Razak), tidak jauh dari bangunan Wisma BERNAMA yang ada sekarang, ramai petugas yang mencurah khidmat bakti telahpun meninggal dunia dan tidak kurang pula yang bersara. Boleh dikatakan hampir semua petugas yang ada sekarang menyertai BERNAMA beberapa tahun selepas 20 Mei 1968. Dalam foto di atas (1980-an), hanya tiga orang yang masih berkhidmat dengan BERNAMA termauk selaku Pengerusi (A. Rahman Sulaiman), Ketua Pengarang (Zulkifli Salleh) dan Editor Penyuntingan Bahasa Inggeris (M Govind Nair). Yang lain termasuk Menteri Penerangan Tan Sri Mohamad Rahmat, Pengerusi, Setiausaha Bernama dan dan beberapa orang petugas kanan telah pun meninggal dunia.
Kepada BERNAMA saya rakamkan ucapan SELAMAT MEMPERINGATI TARIKH MEMULAKAN OPERASI dan jalankan tugas berpandukan etika kewartawan sebenar. Ini penting kerana kebelakangan ini kewibawaan BERNAMA mula dipersoal terutama menjelang pilihan raya umum.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.