`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, October 1, 2013

Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan

Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) selepas dibahaskan dalam peringkat jawatankuasa sejak Rabu lepas.

Rang Undang-undang itu memperuntuk wang tambahan sebanyak RM14,125,580,900 kepada beberapa kementerian sebagai perbelanjaan mengurus tambahan pertama.

Kementerian terbabit ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr James Dawos Mamit yang mewakili Menteri Pelancongan dan Kebudayaan membentangkan Rang Undang-undang Fi (Jabatan Muzium Malaysia) (Pengesahan) 2013 untuk bacaan kali pertama. -BERNAMA

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

         Peruntukan tambahan RM14b, BN dijangka gagal capai defisit 4 peratus  

[kd]- Kerajaan BN dijangka gagal mencapai sasaran defisit empat peratus, seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2013 jika terus memohon peruntukan tambahan, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. 
Semalam, sidang Parlimen menyaksikan kerajaan memohon usul Perbekalan Tambahan sebanyak RM14 bilion pertama tahun ini.
Naib Presiden KEADILAN itu berkata, pihaknya mengandaikan tiada perubahan ke atas ramalan pendapatan, nisbah belanjawan ke Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak kepada 5.5 peratus.
“Nisbah ini menunjukkan Kerajaan BN gagal mencapai sasaran empat peratus seperti yang diumumkan mereka ketika pembentangan Belanjawan 2013,” katanya dipetik pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, beliau mempertahankan belanjawan alternatif yang bakal diumumkan Pakatan Rakyat mampu untuk memperkukuhkan ekonomi negara daripada kejutan ekonomi dunia.
Beliau berkata, pendekatan reformasi fiskal mampan yang digunakan Pakatan juga mampu memperbaiki profil kewangan negara yang diukur oleh agensi-agensi penilaian kredit antarabangsa.
Menurutnya, pembentangan Bajet 2014 kerajaan yang berselindung di sebalik unjuran ekonomi yang sentiasa tersasar sehingga memerlukan pembentangan usul perbekalan tambahan setiap tahun akan memberi kesan negatif kepada “kesihatan” perbendaharaan awam Malaysia dan kedudukan fiskal.
“Pakatan prihatin terhadap pembentangan Usul Perbekalan Tambahan ke atas perbelanjaan operasi bernilai RM15.014 bilion yang terdiri daripada RM14.13 bilion untuk “perbelanjaan bekalan. Dan RM888.46 juta untuk perbelanjaan tanggungan.
“Usul Perbekalan Tambahan ini memberikan tamparan hebat kepada ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ia akan memberi kesan negatif kepada perbendaharaan awam serta pemantapan kedudukan fiskal,” kata Nurul Izzah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.