`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, January 9, 2014

Jais perlu pulangkan Bible jika patuhi Resolusi 10

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu memulangkan semua Bible yang dirampas minggu lalu jika penerbitannya tidak melanggari Resolusi 10 Perkara isu kalimah ALLAH yang telah ditetapkan Kabinet. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Jais merujuk perkara itu dengan Kementerian Dalam Negeri bagi mengesahkan penerbitan Bible itu mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan Bible milik BSM memenuhi Resolusi 10 Perkara, Jais perlu memulangkan semula,” katanya yang dipetik daripada kenyataan medianya, hari ini.
Syarat Resolusi tersebut termasuk membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak Bible dalam bahasa Melayu.
Mengikut Seksyen 9 Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk orang bukan Islam mengguna pakai beberapa perkataan termasuk perkataan ALLAH dalam mana-mana tulisan dan penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan.
Dalam pada itu, katanya Jais perlu meneruskan siasatan secara profesional sambil mengambil kira sensitiviti penganut agama Kristian sebelum sesuatu tindakan penguatkuasaan diambil.
Tegasnya, kerajaan negeri juga akan meneruskan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais untuk memastikan penguatkuasaan pada masa hadapan dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab.
“Kita juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua agama bukan Islam untuk pemahaman Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.
“Kerajaan negeri menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan meneruskan usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati di samping menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan peranan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.