`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, August 8, 2016

SIAPA LEBIH PATUT JAGA INSTITUSI PRESIDEN - AHLI BAWAHAN ATAU PRESIDEN ITU SENDIRI?

Semalam Najib Razak mengajak ahli-ahli UMNO untuk memelihara dan menjaga institusi presiden sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan parti itu terus kukuh.

Jaga institusi presiden, bukan jaga saya, kata beliau.

Mungkin Najib sekarang ini sedang tertekan dengan penubuhan parti baru oleh Tun Mahathir yang mula mendapat respon yang baik daripada orangramai, lantaran itu tiba-tiba saja meminta agar dijaga institusi presiden UMNO. 

Masalah UMNO cuma berkaitan Najib. UMNO tidak pernah ada presiden seperti beliau yang bukan saja dirinya dikaitkan dengan skandal, bahkan  isteri dan anak tirinya juga terkait sama menambahkan masalah kepada parti. Sebab itu Najib masih cuba berselindung agar yang dijaga bukan dirinya sebagai presiden,  tetapi institusi presiden.

Dengan parti baru yang bertunjangkan Melayu dan Bumiputera juga, ahli-ahli UMNO kini sudah ada pilihan. Tambahan lagi, semua orang sedar, selagi Najib memimpin parti itu, bukan saja beliau kena ditolak, bahkan dengan UMNO itu sekali mesti ditanggalkan kuasanya.

Jika tidak, masalah yang melingkari institusi presiden tidak akan berakhir. Kaum keluarga presiden juga akan terus menjadi beban kepada parti.

Najib yang menjadi punca segala masalah tentu sedar UMNO kini sedang berada di persimpangan hati orang-orang Melayu, tetapi adakah memadai dengan meminta ahli UMNO saja yang perlu menjaga institusi presiden? 

Bagaimana dengan presiden yang sedang mengetuai institusi presiden itu?

Adakah dia tidak perlu memelihara dan menjaga nama baik institusi presiden tersebut?

Jika presiden berperangai baik dan tidak menjadi cemuhan, memang diakui bahawa ahli-ahli perlu menjaga dan memelihara institusi presiden tersebut, tetapi bagamana jika presdien sendiri sering memudarat, mencemar dan menjahanamkan nama parti?

Apakah dalam keadaan sebegitu, ahli masih perlu menjaga dan memelihara institusi presiden?

Bagaimana jika perbuatan memudarat, mencemar dan menjahanamkan parti itu bukan sekadar dilakukan sekali, bahkan berulang-ulang kali, apakah ahli masih perlu menjaga dan memelihara institusi presiden tersebut?

Bukankah seorang presiden seharusnya lebih dulu menunjukkan teladan yang baik dan menjaga serta memelihara institusi presiden berbanding ahli-ahli bawahan?

Atau sudah jatuh hukum wajib bagi ahli-ahli UMNO untuk membuang presiden yang ada demi untuk menyelamatkan institusi presiden?

Mana yang lebih baik, terus memelihara institusi presiden meskipun presidennya berkelakuan buruk atau menggantikan presiden yang menjadi buah mulut seluruh dunia itu dengan pemimpin lain demi memastikan institusi presiden terus terjaga dan terpelihara? (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.