Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia berkata seminar itu menghasut masyarakat membenci mereka.
PETALING JAYA: Komuniti Ahmadiah meminta campurtangan Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun terhadap penganjur seminar “Ajaran Qadiani Satu Ancaman” kerana ia menghasut masyarakat membenci mereka dan seterusnya menggugat keamanan masyarakat sekitar.
Jurucakap Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia, Ainul Yakin Mohd Zain berkata, program yang bakal dianjurkan malam ini di Kampung Nakhoda, Batu Caves berhampiran bangunan mereka dikhuatiri boleh mencetuskan keganasan ke atas komuniti itu, yang bertapak di kampung berkenaan secara aman sejak lebih kurang 60 tahun lalu.
“Semenjak kewujudan Ahmadiah di Kampung Nakhoda, tidak ada rekod kami menggugat keamanan di sini. Ini kerana anggota Jemaat Ahmadiyah secara individu mahu pun secara berjemaah sentiasa taat kepada pemerintah dan undang-undang negara di mana saja mereka bermastautin.
“Kami memohon kebijaksanaan Tan Sri untuk bertindak memberikan nasihat kepada penganjur agar tidak berbuat demikian demi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, dan juga sebagai menghormati kebebasan kepercayaan beragama bagi setiap individu di negara ini,” katanya dalam surat kepada Fuzi.
Poster “Seminar Penjelasan Akidah – Ajaran Qadiani Satu Ancaman” menyatakan program tersebut dianjurkan oleh Kompleks Islam Daerah Gombak dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Nakhoda dan Masjid Kampung Nakhoda.
Pada poster itu juga terpamer 2 penceramah, bekas ketua penolong mufti dan ahli jawatankuasa Fatwa Selangor, Mat Jais Kamus, dan Faisal Leman.
FMT sebelum ini melaporkan komuniti kecil itu hidup dalam ketakutan susulan ancaman dan amaran terhadap mereka pada satu sidang media anjuran Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Oktober lalu.
Di sidang media itu, Pengerusi GBAH Masridzi Sat menggesa pihak berkuasa agama dan tempatan bertindak terhadap Baitulsalam, yang menjadi tempat pertemuan pengikut fahaman itu.
Fahaman Ahmadiah berasaskan ajaran Mirza Ghulam Ahmad dari Qadian, India, yang mereka percaya Mahdi yang dijanjikan.
Orang Islam menganggap ajaran itu bukan sebahagian ajaran Islam utama, pendirian yang difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1975, mengisytiharkan pengikut Ahmadiah menyimpang dari kepercayaan Islam. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.