`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 30, 2018

BILA LAGI PAKATAN HARAPAN NAK ADA MEDIANYA SENDIRI?

Kerajaan Pakatan Harapan sudah mentadbir negara ini melebihi tempoh 100 hari sejak menang pada pilihanraya umum 9 Mei lalu.
Walaupun dalam tempoh 100 hari yang sudah berlalu itu, isu paling banyak diperkatakan ialah tentang janji manifesto Pakatan Harapan yang kononnya masih banyak tidak ditunaikan, tetapi sebenarnya ada perkara lain yang turut menjadi bualan, namun ramai orang seperti terlepas pandang mengenainya.
Perkara tersebut tidak lain ialah tentang penyebaran berita-berita palsu mengenai kerajaan dan pemimpin tertentu Pakatan Harapan yang jelas lebih menular dan berleluasa berbanding era BN dahulu.
Ia sama ada berita itu diputarbelit, direka atau diadakan daripada tiada dan kemudian disebarkan secara meluas melalui media sosial dan kumpulan-kumpulan Whatsapp.
Kerapkali juga berita-berita tertentu direka dengan menggunakan nama portal berita yang menjadi pilihan ramai bagi meyakinkan orangramai mengenainya.
Tidak saja Perdana Menteri, menteri-menteri dan pemimpin tertentu dalam Pakatan Harapan yang selalu menjadi sasaran, malah Mufti Perlis pun menjadi mangsa dengan berita palsu mengenai kononnya beliau bercakap mengenai wang pencen sebagai haram baru-baru ini.
Hakikatnya, apa saja yang boleh dijadikan untuk mengurangkan keyakinan kepada kerajaan, akan adalah pereka berita palsunya.
Tidak cukup dengan itu, media arus perdana tertentu juga kebelakangan ini sudah mula kembali dengan perangai lama dengan suka memutar belit berita fakta tentang pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.
Nampaknya media arus perdana ini hanya insaf pada peringkat awal UMNO dan BN hilang kuasa saia, tetapi kemudian perangainya tetap sama seperti dahulu.
Pemimpin-pemimpin kerajaan yang suka dan teruja dalam memberi ruang kepada media arus perdana membuat liputan program-program mereka hendaklah sedar bahawa media arus perdana, kecuali RTM dan Bernama yang merupakan milik kerajaan atau Astro dan Sinar Harian yang menjadi milik bebas, selainnya adalah tetap milik UMNO atau tauke mereka UMNO.
Oleh itu, para menteri dan mereka yang berjawatan dalam kerajaan hendaklah berpada-pada dan jangan terlalu memberi muka kepada media arus perdana berkenaan.
Bila-bila masa media tersebut boleh spin, putar belit atau melaga-lagakan apa yang pemimpin Pakatan Harapan perkatakan.
Ingat sekali lagi – tauke mereka tetap UMNO.
Dalam menangani penyebaran berita palsu dan kelakuan media arus perdana yang kembali dengan perangai lama itu,  satu-satunya cara yang berkesan ialah dengan dengan setiap parti atau menteri mesti mewujudkan pasukan media sosialnya sendiri.
Pasukan ini bukan saja berperanan menyebarkan segala perkembangan atau maklumat berguna kepada rakyat, tetapi juga mesti pantas menangkis dan memperbetulkan berita-berita palsu yang tersebar.
Kita harus sedar bahawa  UMNO sudah tiada isi lagi mahu diperjuangkan kepada masyarakat kerana mereka bukan lagi kerajaan dan juga kerana kerosakan besar yang ditinggalkan oleh Najib Razak dan Rosmah Mansor, lantaran melemahkah Pakatan Harapan melalui berita-berita palsu dan tidak benar adalah pendekatan pilihan mereka sekarang ini.
Dalam hal ini, meskipun ada SKMM yang sepatutnya menangani berita-berita palsu itu, tetapi nampaknya selepas PRU14 lalu agensi tersebut turut lesu berbanding sebelumnya.
Apakah SKMM masih bersimpati dengan kekalahan UMNO atau kerana ramai kakitangannya yang simpati dengan UMNO, lalu ia seperti tidak bertindak apa-apa sekarang ini?
Maka itu, Pakatan Harapan jangan bergantung harap kepada SKMM sebagaimana era Najib dahulu yang mana pantang ada berita palsu di media sosial, begitu pantas sekali tindakannya menangkap atau menyiasat sesiapa yang terlibat.
Langkah seterusnya ialah Pakatan Harapan wajib mewujudkan media arus perdananya sendiri dengan secepat mungkin. Jangan lagi bergantung kepada media arus perdana sedia ada.
Kalau sekarang pun media arus perdana sudah mula spin, putar belit dan bertindak melaga-lagakan sesama parti atau pemimpin dalam Pakatan Harapan, bayangkan bagaimana perangai mereka menjelang PRU15 akan datang?
Kita sudah jadi kerajaan, inilah masanya membentuk benteng penyebaran maklumat yang mantap. Jangan tunggu lama-lama.
Mulakan sekarang jika ingin Pakatan Harapan memerintah Malaysia dalam tempoh yang lebih lama.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.