Tidak ada apa-apa kelebihan pada pemimpin PAS berbanding ahli politik lain, kata Naib Presiden Amanah, Husam Musa.
Menurut Husam, pemimpin PAS "aktor politik" yang menggunakan agama dalam percaturan mereka, manakala Umno pula menggunakan isu Melayu.
"Mereka adalah aktor-aktor politik macam orang lain juga, cuma asasnya mereka menggunakan Islam manakala Umno menggunakan Melayu," katanya.
Dipetik Mingguan Malaysia dalam wawancara Husam juga berkata sebelum ini pemimpin PAS amat takut mengakui mereka menjalin kerjasama dengan Umno berbanding sikap mereka sekarang.
Husam yang sebelum ini pernah menjadi naib presiden PAS menambah ketika pemimpin parti itu didakwa berbaik-baik dengan Umno, mereka menafikannya.
Puncanya kata Husam kerana pemimpin terbabit bimbang perubahan sikap tersebut tidak diterima anggota parti dan ia diterjemah kepada undi yang diberikan kepada PH dalam PRU ke-14 lalu.
Kini kata Husam PAS menzahirkan pendirian mereka bukan saja kepada Umno malah terhadap Parti Bersatu Sabah (PBS) yang sebelum ini dianggap mereka sebagai berfahaman Kristian.
Umno kini beraliran kiri.
“PAS sudah boleh menerima PBS yang dulu mereka anggap sebagai parti Kristian.
"Timbul persoalan bagaimana PAS boleh terima PBS? Adakah PBS boleh menerima (cadangan pindaan) Akta 355?" katanya merujuk kepada usaha parti itu melalui usul persendirian presiden mereka, Abdul Hadi Awang, meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Rang undang-undang itu dibawa Abdul Hadi dengan sokongan Umno namun ditolak hampir semua parti termasuk MIC, MCA, Gerakan dan PBS.
“Ini semua adalah kekaburan politik yang dibina untuk tujuan kuasa semata-mata. Kita tidak boleh ingat dalam PAS semua itu wali," katanya.
Menurut Husam, tindakan PAS yang tiba-tiba menyokong PBS juga merupakan kesilapan dalam polisi parti berkenaan.
"Bahkan orang Sabah dan Sarawak memang fobia dengan PAS dan sebab itulah PBS mendapat undi yang lebih rendah dalam PRK di Sandakan itu," katanya.
Tambah Husam, kerjasama Umno dan PAS pada masa akan datang bukannya mengukuhkan kedua-dua parti itu sebaliknya hanya akan menguburkan mereka.
Katanya, kekuatan Umno adalah menjadi parti arus perdana dan dilihat sebagai payung semua kaum dengan membawa pendekatan sederhana dan aliran tengah, namun apabila bersama PAS, parti itu sudah dilihat berada pada aliran kiri.
“Kerjasama Umno dan PAS mungkin kuat di beberapa kerusi dan undi mereka juga meningkat, di kerusi yang sememangnya dimiliki PAS dan Umno tetapi mereka tidak akan berjaya di kerusi lain,” katanya. -gigitankerengga.blog
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.