`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 9, 2020

1 kes baharu rabies di Sarawak, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes bagi keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 sehingga kini adalah 25 kes termasuk 24 kematian.
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 1 kes baharu rabies dikesan membabitkan seorang lelaki dari Jalan Penrissen, Kuching, Sarawak, yang meninggal dunia semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki itu disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 4 September lalu.
“Kes adalah seorang lelaki berumur 51 tahun. Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 26 Ogos kerana mengalami sakit belakang menyebabkan kesukaran untuk bergerak selama 3 hari sebelum dimasukkan ke wad.
“Beliau mengalami muntah dan serangan sawan sebelum dimasukkan ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki itu meninggal dunia jam 6.29 petang semalam dengan diagnosa rabies encephalitis.
Katanya, siasatan awal belum dapat mengesahkan sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku padanya.
“Namun, beliau ada memelihara seekor kucing dan seekor anjing. Anjing peliharaannya ini belum mendapat vaksin anti rabies tetapi juga tidak dilepaskan dari kawasan rumah. Sehingga hari ini, status kedua-dua haiwan ini adalah baik dan tiada perubahan tingkah laku,” katanya.
Noor Hisham berkata, dengan pengesahan kes rabies baharu itu menjadikan keseluruhan 3 kes tahun ini dan semuanya meninggal dunia.
Katanya, jumlah kes bagi keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 sehingga kini adalah 25 kes, termasuk 24 kematian.
“Jangkitan virus rabies kepada manusia boleh dielakkan. Memandangkan Sarawak belum bebas jangkitan rabies, KKM ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan antaranya cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.