`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, September 12, 2020

Hajiji terima jadi calon ketua menteri Sabah

Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor di pusat penamaan calon bagi DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman hari ini
TUARAN: Pengerusi PPBM Sabah, Hajiji Noor menerima cadangan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang mencalonkan beliau sebagai ketua menteri sekiranya Gagasan Rakyat Sabah berjaya memenangi pilihan raya negeri (PRN) akhir bulan ini.
Bagaimanapun katanya, perkara itu bukan keutamaan ketika ini kerana lebih penting ialah memenangi pilihan raya terlebih dahulu.
Pagi tadi, Muhyiddin ketika berucap sempena penamaan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman di pejabat PPBM Tuaran berkata, parti itu akan mencalonkan Hajiji sebagai ketua menteri sekiranya mereka berjaya menumbangkan kerajaan Warisan Plus.
“Saya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara ini (calon ketua menteri), tetapi kita akan berbincang dengan rakan-rakan lain daripada Barisan Nasional (BN), PN dan PBS (Parti Bersatu Sabah) apabila tiba masanya nanti,” kata Hajiji ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman di sini.
Ketika ditanya siapakah yang akan mengetuai Gabungan Rakyat Sabah seperti diumumkan oleh Muhyiddin, beliau berkata, gabungan yang baru dibentuk itu akan diketuai bersama oleh parti yang ada dalam PN, BN dan PBS.
“Ini adalah gabungan yang cukup baik buat rakyat Sabah. Selepas Warisan memerintah tidak sampai 1 penggal, Gabungan Rakyat Sabah inilah yang akan mampu memastikan rakyat Sabah dibela dan dibangunkan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluangnya untuk mempertahankan kerusi DUN Sulaman, Hajiji tidak menyatakan secara jelas, namun yakin rakyat di kawasan itu masih mahukan pembangunan dan hanya PN yang mampu melakukannya.
“Kali ini Sulaman pecah 2, 1 kawasan baru, iaitu Pantai Dalit yang saya jaga lebih 30 tahun, tetapi Sulaman kini mempunyai pengundi lebih 11,000.
“Kita akan meneruskan pembangunan di kawasan Sulaman kerana rakyat mahukan pembangunan, mahukan pembelaan,” katanya.
Hajiji yang bertanding atas tiket PN bakal berdepan pertandingan 3 penjuru dengan 2 calon iaitu Aliasgar Basri (Warisan) dan Rekan Hussein ( Parti Cinta Sabah).
Hajiji adalah penyandang kerusi berkenaan selepas memenanginya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
Beliau menang dengan majoriti 7,774 undi menewaskan 2 Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.