`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 8, 2020

Harap semua pihak terima keputusan mahkamah, kata Shafie

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berharap semua pihak menerima keputusan dibuat Mahkamah Rayuan hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU: Semua pihak di Sabah diharap menerima keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kata ketua menteri Shafie Apdal.
“Dengan keputusan itu, rakyat Sabah akan menjalankan tanggungjawab untuk memutuskan siapa yang boleh mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya menerusi kenyataan video hari ini.
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan 33 Adun berkenaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Yang di-Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin membubarkan DUN pada 30 Julai.
Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan 33 Adun berkenaan bagi penangguhan pelaksanaan keputusan hari ini sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pada 17 Ogos, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan semakan kehakiman 33 Adun berkenaan bagi membatalkan permohonan Shafie kepada Juhar untuk membubarkan DUN, membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN dan membatalkan notis pewartaan kerajaan negeri Sabah berhubung pembubaran itu.
Semua 33 wakil rakyat itu mendakwa pada 29 Julai bahawa mereka mempunyai majoriti dalam DUN dan mahu Juhar membenarkan mereka mengangkat sumpah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, sekali gus menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Shafie.
Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna dan penyandang kerusi DUN Senallang, mendahului tindakan Musa itu dengan menasihatkan Juhar membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli, 60 dipilih dan 5 dilantik.
Berikutan keputusan itu, PRN akan berlangsung seperti dijadual. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 September bagi penamaan calon dan pengundian pada 26 September ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.