`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 17, 2020

Ingin jadi muda



Untuk sekian lama, kata “muda” itu ada beban psikologi besar dalam kalangan orang Melayu. Ia sebuah istilah yang mungkin saja datang dari Pali (bahasa Indo-Aryan dahulukala), iaitu kata “muddha” membawa maksud “liar”. Barangkali juga ia datang dari Sanskrit iaitu “mughdha” yang berpengertian “tidak tahu apa”. Kamus Dewan memberi maksud-maksud tidak kurang juga dapat dibaca secara negatif; mentah, hijau, berhingus, ubun-ubun masih lembik, setahun jagung, belum masak, masih awal, dan budak.
Adakah semua erti di atas benar, atau hanya satu beban budaya yang menyerap dalam kata bahasa?
Oleh sikap terlalu berhati-hati orang Melayu dengan anak muda, maka anak muda kita sukar tumbuh dan kreatif. Sekali cuba mekar, maka lekas dibonsai. Sekali cuba subur menjulang tumbuh, cepat dicantas agar terbantut. Semuanya kerana beban bahasa.
Sesungguhnya itu teramat aneh. Ini kerana orang Melayu itu Islam. Jika Islam, anak muda sudah diiktiraf berakal dan memikul dosa sebaik baligh. Usia baligh anak muda itu kalau lelaki mungkin sekitar 15 tahun, kalau perempuan lebih awal. Makanya dari segi hukum, anak muda sudah sedia diberi tanggungjawab dunia akhirat.
Akan tetapi, Melayu hanya menggunakan Islam untuk tujuan keuntungan. Apabila ada agenda lain, sepertinya untuk menafikan pembangunan anak muda, Melayu akan mencari jalan merentang dan menggendalakan. Anak muda akan dihempuk dan dihimpit. Mereka, Melayu akan mengatakan “ahhh muda, masih belum bersedia”, atau “belum masanya”. Tiba-tiba Melayu menggunakan kerangka purba, dan bukan kerangka hukum-hakam Islam yang membenarkan anak muda bersuara dan memilih.
Sebenarnya Nabi Muhammad sewaktu menunjukkan kepimpinan yang luar biasa itu, beliau masih muda. Tidak ramai Melayu tua, di kampung-kampung pernah mendengar perihal Hilf al-Fudhul atau Deklarasi Belia yang ikut ditandatangani oleh Rasulullah sebelum baginda rasmi menjadi seorang Nabi di usia 40 tahun. Apakah dia Hilf al-Fudhul ?
Sejarahnya begini, seorang Badwi dari desa Zubaid berkunjung ke kota Mekah untuk berdagang. Ash Wail (bapa Amru Ash), seorang tokoh bangsawan Quraisy membeli jualan dari si Badwi itu tanpa membayar harga setimpal.
Kita bayangkan Badwi itu seumpama seorang pribumi di negara kita, ibaratkan Orang Asli yang datang dari pedalaman Kelantan, atau seorang lelaki Penan membawa hasil rotan untuk diniagakan. Ash Wail seorang lord atau bangsawan, merasakan tidak perlu memenuhi tuntutan harga seorang minor.
Badwi itu rasa tertipu dan teraniaya lantas dia merintih dan bergayut di dinding Kaabah seraya membaca rangkap-rangkap syair pilu. Bait puisi lara syahdu itu tiba ke gegendang telinga beberapa lelaki terhormat dalam kalangan kaum Quraisy di sisi Kaabah. Mereka berasa terpanggil oleh kerana masih rasa punya harga diri. Ingat, yang mendengar itu sendiri kaum muda yang juga anak-anak bangsawan, anak lord.
Mereka pun segera menyahut syair indah penuh kesedihan dan duka tersebut. Mereka itu adalah Zubair Abdul Muthalib dan beberapa anak muda daripada Bani Hasyim, Bani Asad Abd Al Uzza, Bani Zuhrah Kilab dan Bani Taim Murrah. Pemuda-pemuda yang bermaruah itu melakukan rapat di kediaman Abdullah Jud’an lalu mengistiharkan satu deklarasi untuk bersolidariti, berparti, dan berjanji setia untuk membela hak orang tertindas, melawan penindas sehingga terpulih hak-hak kaum kecil.
Acara Hilf al Fudhul ini turut disertai Nabi Muhammad yang masih muda. Anak muda Quraisy yang budiman ini pun bergerak bersama-sama dan mengetuk pintu rumah Ash Wail. Mereka menuntut agar hak lelaki Orang Asli dari kaum Badwi ini diberi. Ash Wail berasa gerun lantas melunas bayaran yang culas dibayarnya.
Rasulullah menghimbau usaha politik bermakna yang baginda lakukan ketika muda itu, “Aku pernah menyaksikan suatu perjanjian di rumah Abdullah Jud’an yang seandainya sekarang ini (di masa Islam) jika aku diminta untuk ikut dalam perjanjian tersebut pasti aku akan ikut. Mereka berjanji untuk mengembalikan semua hak orang yang teraniaya kepada pemiliknya agar orang yang zalim tidak dapat berbuat sewenang-wenang terhadap orang lemah.”
Dalam riwayat lain, baginda mengatakan deklarasi tersebut lebih baginda senangi berbanding unta merah sebagai harta bernilai (hari ini: dibaca sebagai kereta Mercedes) untuk orang Arab tatkala itu.
Pakatan anak muda itu sangat berpengaruh. Sehingga parti Hilf al Fudhul  itu cuba dihidupkan kembali di era Muawiyah. Sejarahnya begini, Muawiyah melantik gabenor Madinah bernama Walid Utbah. Gabenor ini mengenakan cukai yang tinggi melampaui batas dan mengakibatkan lapis masyarakat yang tidak berkemampuan ke dalam lubang krisis kewangan yang dahsyat.
Saidina Husin menyeru di hadapan Walid dengan mengatakan; “Demi Allah, bila sahaja kamu meminta berlebihan, aku akan mencabut pedang lalu tampil di Masjid Nabi dan mengundang cucu dari penandatangan Hilf al Fudhul .”
Di saat itu, Abdullah Zubair bangun, Masur Mukhramah bangun, dan Abd Ar Rahman Utsman bangun; mereka semua bergegas ke pintu pejabat gabenor dan menuntut supaya hak kaum tertindas dipenuhi, supaya cukai diturunkan serta maruah rakyat dipertahankan. Buat seketika, gabenor berasa tergugat oleh tunjuk rasa atau demonstrasi tersebut lantas menurut kehendak generasi muda warisan Hilf al Fudhul.
Sekarang bayangkan jika muda itu bukan sahaja bermaksud muda dan budiman dari segi usia seperti yang terlihat dalam sirah di atas. Bayangkan jika muda itu juga bermaksud segar (atau fresh). Iaitu, bayangkan muda itu disertai oleh mereka yang tidak ada kepentingan politik. Pun, mereka kumpulan penggiat masyarakat yang memiliki idea kreatif untuk membetulkan sistem nan sudah tepu, mengikat dan buntu.
Bayangkan mereka ini seperti muka segar dari Hilf al Fudhul yang menuntut muka lama seperti penguasa Quraisy, Ash Wail, memenuhi hak asasi kumpulan minor. Bayangkan pula mereka turun rapat umum menuntut agar cukai tinggi diturunkan oleh Walid Utbah. Bayangkan wajah segar yang berani bersuara mendobrak muka lama, muka basi, muka sama, muka yang meletihkan kita untuk melakukan satu yang betul; iaitu meluruskan dan memecahkan kebuntuan serta segala krisis politik yang lama mencekam.
Dalam konteks Malaysia hari ini, anak muda ini tidak mesti muda kerana belia tetapi kerana mereka baharu, segar, belum tercemar, dan belum dipalit segala macam kekotoran politik. Mereka muda kerana ingin menggantikan yang lama tidak berguna.
Saya pun mengarang puisi “Ingin Jadi Muda”, bunyinya begini:
Muda sesungguhnya pengertian budi
Muda sepertinya terlihat ada pekerti
Muda sedia membujur lalu melintang patah, kalau tua
membujur lalu melintang pukang.
Siapa dia bilang muda akan selalu terburu-buru
kalau ketika nabi digelar al Amin, baginda sesungguhnya masih muda.
Ketika Isa berkorban di kayu salang, al Masih juga muda.
Kita tahu Ali masih muda tatkala
menjadi remaja pertama untuk beragama.
Siapa dia kata muda mesti liar, angkuh dan cepat menghukum
Kalau Jose Rizal yang belia berani menahan dada dengan peluru.
Atau andaikan saja muda itu Shamsiah atau Kartini,
boleh jadi Ishak, atau muda persis Burhanuddin Al Helmy.
Muda tidak mesti tergesa-gesa,
dan cepat menghukum kerana muda penuh pertimbangan hari,
jika teliti merenung semalam.
Muda sentiasa masa hadapan kalau buntu masa silam.
Muda sentiasa tersedia bila yang basi terpaksa ditolak tepi.
Muda tidak mesti menjadi Tuah sanggup mengkhianati teman.
Muda tidak juga mesti selagak Jebat mengamuk untuk menjadi hebat.
Muda akan dan boleh juga Sri Jayanasa membuka Srivijaya, memimpin empayar.
Muda juga waras, berilmu dan segak,
seperti muda juga anggun, menggugah dan berentak.
Datuk nenek kita Jawa, Bajau, Hakka, India;
atau Yamani dan Parsi datang dari jauh
ke negeri ini untuk berbakti kepada bumi, jatuh cinta dan menetap di sini
lantas menumpah darah dan air mata menghabis usia muda keramat mereka.
Datuk nenek kita pernah muda
bergabung kudrat bersama-sama Iban, Kadazan, dan Melayu.
Muda ingin menebus dosa dulu,
memohon keampunan kepada Semai Jakun peribumi asli.
Muda ingin hidup bersama dan tidak lagi bermimpi.
Muda perempuan atau lelaki, melindungi kaum minoriti
merebut semula negara yang jahanam dilenyek lindas kleptokrasi.
Muda ingin memberi kepada yang berhak
kerana muda percaya nikmat berkongsi.
Muda adalah warisan nusa bangsa
maka mengapa tidak muda diberi pilihan menentukan hari ini.
Muda datang tidak dari terpilih-pilih kerana muda ingin merangkum semua
aneka kepercayaan seperti termaktub dalam rukun negara,
aneka budaya dan warna setelah tertulis dalam perlembagaan kita.
Muda bukanlah peluang untuk dipersia-sia.
Muda ternyata gelombang alami fitrah dunia.
Muda juga tujuan kita di akhirat sana,
kerana di syurga kita semua muda.
Tetapi muda tidak seperti mereka ingin menjaja agama,
muda tidak mahu hilang cita-cita lantaran kuasa.
Muda adalah demokrasi bukan tua demikerusi.
Muda mesti sekarang
Muda mesti masa ini
Muda adalah tenaga dan gengsi
Kerana muda adalah masa.
Muda masa kita.
Saya merasakan kita mesti memecahkan beban psikologi istilah “muda” menurut orang Melayu dan berfikir menurut kerangka yang lebih baik. Iaitu kerangka Hilf al Fudhul. Saya rasa tidak keseorangan sekarang mengalu-alukan anak muda, yang muda usia dan muda atau segar wajah dan idea memimpin kita. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.