`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, September 19, 2020

Keluarga badut ‘Uncle Ting Tong’ terharu dapat bantuan

 

Wakil NOW menziarahi keluarga Roslee Yusof di kediamannya di Flora Damansara.

PETALING JAYA: Ketabahan badut “Uncle Ting Tong” mencari rezeki bagi menyara 3 orang anak menghidap talasemia mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Nation of Woman (NOW) yang berkunjung ke rumah keluarga itu di Flora Damansara baru-baru ini.

Kisah Roslee Yusof, 53, yang sanggup bekerja sebagai manusia patung atau badut sepenuh masa mendapat perhatian meluas selepas dilaporkan FMT pada 31 Julai lalu.

Tersentuh dengan kisah keluarga itu di mana isteri Roslee, Norehan Hamid turut menghidap pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi yang menyebabkan pergerakannya terbatas, NOW tampil menghulurkan bantuan.

Norehan berkata, keluarganya terharu dengan bantuan dihulurkan NOW yang sedikit-sebanyak meringankan beban mereka.

“Terima kasih kepada NOW kerana bermurah hati bantu keluarga saya dan ubah keluarga saya lebih baik dari segi ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Exco NOW Suhana Roshandin menyampaikan sumbangan kepada isteri Roslee yang menghidap pelbagai penyakit.

Wanita itu mengakui, penyakit dihidapinya menyebabkan pergerakan terbatas termasuk sukar membantu suaminya mencari rezeki.

“Saya tidak boleh ikut suami mencari rezeki kalau diserang sakit,” katanya.

Norehan turut memaklumkan, sebelum ini keluarganya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Mayarakat (JKM) namun tidak menerimanya sejak tahun lalu.

Keluarganya tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada rezeki suami dan anaknya berniaga kecil-kecilan.

“Lebih separuh wang yang kami dapat untuk rawatan kesihatan saya dan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, exco kebajikan nasional NOW Suhana Roshandin berkata, pihaknya setuju memberi bantuan kewangan untuk kos rawatan termasuk membaiki rumah yang rosak memandangkan keluarga terbabit memang layak.

Wakil NOW bersama ahli keluarga Roslee termasuk 3 anaknya yang menghidap talasemia.

Suhana memaklumkan, keluarga terbabit bukan sekadar dibantu bagi tempoh jangka masa pendek sebaliknya turut mencari penyelesaian membawa mereka keluar daripada kesempitan hidup dihadapi ketika ini.

Katanya, NOW dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendaftarkan 3 anak Roslee mengikuti kursus kemahiran selama 2 bulan bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan lebih meluas untuk menambah pendapatan dan lebih stabil termasuk mendapatkan geran daripada kerajaan.

“Kami difahamkan 3 anak pasangan ini menghidap talasemia yang memerlukan pertukaran darah setiap 2 minggu dan kosnya agak tinggi, malah pendapatan bulanan keluarga ini agak rendah lebih kurang RM1,000 sebulan, isterinya mengidap pelbagai penyakit, jadi NOW akan bantu mereka.

“Bantuan diberikan bukan semata-mata untuk 1 hari, sebaliknya kami beri bantuan dari segi kursus yang kami tawar kepada keluarga ini, 2 anak perempuan dan seorang lelaki akan dihantar mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia termasuk sulam bedak, menjahit atau bekam,” katanya.

NOW menyampaikan sumbangan ketika kunjungan ke kediaman Roslee baru-baru ini.

Katanya, NOW juga bersetuju menanggung perbelanjaan kewangan selama 2 bulan anak Roslee mengikuti kursus kemahiran itu.

“Disebabkan kebiasaannya 3 anak ini membantu sepenuh masa Roslee termasuk menjadi badut dan berniaga roti canai di Uptown Kota Damansara, kos perbelanjaan selama 2 bulan ketiga-tiga mereka mengikuti kursus kita akan tanggung,” katanya.

NOW turut akan menghantar pasukannya membaiki rumah keluarga terbabit yang rosak termasuk menggantikan semua tingkap yang pecah.

FMT sebelum ini melaporkan Roslee atau “Uncle Ting Tong” sanggup meninggalkan kerja bergaji tetap di taman tema untuk menjadi badut hampir 20 tahun.

Katanya, selain minat beliau memilih untuk menjadi badut sepenuh masa selepas semua 3 anaknya, Nurizwani, Nurismawati dan Muhammad Nirwan disahkan menghidap talasemia –penyakit genetik sel darah merah yang menghalang badan menghasilkan darah mencukupi.

Bagaimanapun, Roslee tidak menjadi penghibur jalanan setiap hari kerana kadangkala anaknya jatuh sakit dan perlu menjaga mereka dengan rapi.

Katanya, lebih 50% pendapatan bulanan mereka digunakan untuk kos perubatan dan rawatan anak di Hospital Ampang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.