KOTA KINABALU: Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul mempersoalkan keputusan Ketua Menteri, Shafie Apdal meneruskan projek empangan Papar bernilai RM3 bilion sedangkan keadaan ekonomi Sabah teruk.
Beliau ingin tahu dari manakah kerajaan negeri akan mendapatkan wang untuk menampung kos pembinaan projek itu.
“Presiden Warisan harus bersikap telus, wajar dan matang dalam hal ini, kenapa dia begitu bersungguh-sungguh dalam projek ini?
“Adakah laporan EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) telah dilakukan? Sekiranya demikian, apakah hasilnya dan adakah semua alternatif telah dikaji?
“Alternatif seperti takungan sungai yang lebih murah dan lebih cepat untuk dibina masih dapat memenuhi serta menyediakan bekalan air yang diperlukan di kawasan sekitarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Shafie ketika menghadiri sebuah majlis di Papar hari ini, mengumumkan projek itu akan diteruskan demi memastikan masalah bekalan air sejak bertahun-tahun lamanya dapat diatasi.
Katanya, walaupun ada bantahan segelintir masyarakat, namun ia tidak mampu mengatasi kepentingan keseluruhan rakyat yang memerlukan bekalan air bersih sepanjang masa.
“Sudah pasti empangan Papar kita akan buat, empangan ini belanja RM3 bilion, ini bukan daripada kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan negeri.
“Saya tidak mahu kita berdepan dengan masalah bekalan terputus pada masa depan. Di Papar, masalah air juga masih menjadi isu dan pembangunan di Kota Kinabalu, air tidak akan cukup.
“Daripada menunggu rakyat kita menderita, kita mesti gunakan minda untuk fikir masa depan, demi masa depan anak-anak agar tidak lebih teruk.”
Empangan Papar, yang sebelum ini dikenali sebagai empangan Kaiduan, pada mulanya dicadang dibina di hulu Sungai Papar di bawah DUN Moyog di Penampang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di pantai barat Sabah menjelang 2024.
Projek itu dibatalkan pada 2018, tetapi harapan penduduk terkubur apabila kerajaan negeri mengumumkan pembinaan empangan berkenaan akan diteruskan.
Lokasi pembinaan empangan itu ditukar ke Kampung Mondorongin di Papar dan dijadualkan bermula tahun ini dengan kos lebih RM3 bilion. Ia akan mempunyai kapasiti pengeluaran air sehingga 1 bilion liter sehari.
Dagul mengingatkan Shafie, pembinaan empangan Papar akan menyebabkan kira-kira 12 kampung tenggelam dan menjejaskan 3,000 penduduk yang tinggal di hulu Sungai Papar serta kawasan sekitarnya.
“Ini akan menghapuskan keseluruhan permukiman, di mana mata pencarian, tanah pusaka dan sejarah penduduknya akan turut tenggelam.
“Selain itu, kesan empangan yang dimaksudkan terhadap ekosistem dan orang-orang yang tinggal di hilir belum dianalisis dan dipertimbangkan sepenuhnya.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.