`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 10, 2020

Masalah bekalan air di Kelantan dijangka selesai menjelang 2023, kata Tuan Ibrahim

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu besar di Kelantan ialah masalah sumber air dan pengambilan lebih 50% sumber air bawah tanah menyebabkan kos rawatan yang sangat tinggi.
KUALA LUMPUR: Kelantan dijangka menerima bekalan air yang sempurna menjelang 2023, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, ia berikutan proses pembesaran dan naik taraf beberapa loji air utama yang sedang dilaksana di negeri itu di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
“Isu besar yang berlaku di Kelantan adalah masalah sumber air, (serta) pengambilan sumber air bawah tanah lebih daripada 50% dan menyebabkan kos rawatan sangat tinggi.
“Kerajaan meluluskan peruntukan baru untuk kita membuat penambahan (dan) pembesaran loji di Kelantan dan pengurangan NRW (kadar air tidak terhasil) yang agak tinggi di Kelantan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan senator Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu sekiranya masalah kualiti air di Kelantan dan masalah bekalan air yang sering terputus di Pahang dapat diselesaikan jika tarif air dinaikkan.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pahang adalah antara negeri yang kritikal dari segi kedudukan kewangan kerana tarif air yang telah lama tidak disemak.
Beliau berkata, kerajaan negeri Pahang dijangka melakukan migrasi kepada kerajaan pusat pada Oktober ini supaya dapat menyelesaikan hutang yang ditanggung oleh kerajaan pusat.
“Di Pahang, semakan terakhir tarif air ialah pada 1983…37 tahun Pahang tidak pernah menaikkan tarif air dan Pahang merupakan negeri yang paling rendah tarif air, iaitu 79 sen setiap meter padu,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan Ahmad Azam yang ingin tahu sebab kerajaan pusat mengarahkan kerajaan negeri menstruktur semula tarif air, menteri itu berkata, purata air di Malaysia adalah rendah, iaitu RM1.39 bagi 1 meter padu berbanding purata kos sebenar, iaitu RM2.35 setiap 1 meter padu.
Beliau berkata, kos itu ditanggung oleh operator air untuk membekalkan air kepada pengguna dan keadaan ini menyebabkan operator berada dalam keadaan kewangan yang defisit dan sukar untuk mengekalkan perkhidmatan berkualiti.
Oleh itu, beliau berkata. Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperkenalkan mekanisme penetapan tarif air yang mempunyai ciri-ciri seperti penyeragaman struktur tarif sedia ada dan pelarasan kadar tarif sedia ada.
Menurutnya, pelaksanaan mekanisme itu memerlukan penglibatan dan persetujuan daripada kerajaan negeri memandangkan operator air merupakan syarikat yang dimiliki penuh oleh kerajaan negeri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.