`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 28, 2020

Banjir di Terengganu semakin buruk

 

Mangsa banjir di Terengganu ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara iaitu tujuh di Kemaman, tiga di Dungun dan masing-masing satu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Banjir di Terengganu semakin buruk apabila berlaku peningkatan mangsa di beberapa pusat pemindahan sementara, manakala air di Sungai Golok, Kelantan mencatat bacaan melepasi paras bahaya.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 1,692 orang daripada 424 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 698 orang daripada 201 keluarga pada 4 petang semalam.

Mereka ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu tujuh di Kemaman, tiga di Dungun dan masing-masing satu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Che Adam A Rahman berkata, daerah paling terjejas ialah di Kemaman dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,310 orang daripada 313 keluarga berbanding 279 orang daripada 79 keluarga petang semalam.

Beliau berkata, peningkatan mendadak jumlah mangsa itu susulan pembukaan lima lagi PPS di Kemaman iaitu di Masjid Kampung Dadong, Surau Haji Othman, Dewan Sivik Felda Seberang Tayor, Masjid Kampung Batu 16 Tebak dan dewan orang ramai Batu 14 sejak lewat petang semalam.

Sementara itu, di Kelantan, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan 9.02m iaitu melepasi paras bahaya 9m setakat 10 pagi ini berikutan hujan berlarutan sejak semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata, beberapa penempatan di kawasan rendah sekitar Rantau Panjang termasuk Kampung Kusar, Kampung Lanchang, Kampung Bongor dan Kampung Terusan sudah dinaiki air sekitar 0.4m.

“Setakat ini masih tiada penduduk dipindahkan dan pihak kami menasihatkan kepada penduduk terutama di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir akan melanda daerah ini jika keadaan hujan lebat berterusan,” katanya.

Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga 8 pagi tadi, tiada pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri, dan cuaca di seluruh Kelantan pagi ini mendung di beberapa kawasan dengan sesekali hujan.

Di Perak, sebanyak tiga PPS masih dibuka di tiga daerah iaitu Kerian, Manjung dan Hilir Perak yang memberi perlindungan kepada 187 mangsa banjir daripada 46 keluarga setakat 8 pagi ini.

Menurut jurucakap sekretariat jawatankuasa pengurusan banjir Perak, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Bagan Serai menempatkan 87 orang, PPS SK Kayan (30 orang) dan PPS di dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan 70 orang.

“Cuaca di kebanyakan tempat termasuk di bandaraya Ipoh baik pada pagi ini dan kita sedang menunggu air banjir surut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di Melaka, keadaan banjir kian pulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan kepada 18 orang daripada empat keluarga sehingga 8 pagi ini berbanding 48 mangsa daripada 11 keluarga pada 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Effendy Ali berkata, semua mangsa masih ditempatkan di PPS SK Parit Gantong di Jasin.

Hujan dilaporkan pada sebelah pagi di satu dua tempat dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.