KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan ditemui pengasuhnya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian di Gombak semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata, berdasarkan maklumat awal, bayi itu dihantar ibu bapanya ke rumah pengasuh di sebuah pangsapuri di Gombak pada 8 pagi.
Beliau berkata, pengasuh itu mendakwa bayi berkenaan diberikan susu sebelum ditidurkan, namun kira-kira 11.45 pagi, wanita tersebut mendapati bayi terbabit tidak memberi respons ketika digerakkan.
“Berikutan itu, pengasuh berusia 43 tahun terbabit dan suaminya bergegas membawa bayi berkenaan ke klinik berdekatan di Jalan Prima Gombak dan doktor mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira 1 tengah hari dan pemeriksaan awal pihaknya tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan bayi itu.
“Bayi itu adalah anak pertama pasangan suami isteri, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun yang bekerja sebagai pengendali kren dan pembantu tadbir.
“Mereka tinggal berjiran dengan pengasuh di pangsapuri itu,” katanya sambil menambah kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.
Selain bayi berkenaan, pengasuh itu turut menjaga lima bayi lain yang dibantu adiknya berumur 22 tahun. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.