`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 27, 2021

Geng Habib palsu keputusan ujian Covid-19 tumpas, 5 warga Pakistan ditahan

 

Polis merampas pelbagai peralatan, termasuk telefon bimbit, barang kemas, wang tunai dan dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19. (Gambar Facebook Jabatan Imigresen)

SEPANG: Sebuah sindiket pembekal dokumen keputusan palsu ujian saringan Covid-19 dikenali sebagai “Geng Habib” tumpas, selepas polis menahan lima warga Pakistan, termasuk dalang utamanya dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor sejak 20 Jan lalu.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Imran Abd Rahman berkata, kegiatan licik sindiket berkenaan terbongkar selepas polis menahan dua suspek di KLIA yang mahu pulang ke Pakistan.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berusia 28 dan 37 tahun itu ditahan selepas dikesan mengemukakan dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19 di kaunter daftar masuk KLIA untuk berlepas pulang dengan penerbangan Emirates pada 20 Jan lalu.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua lelaki terbabit, polis kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek dipercayai ejen sindiket berkenaan di Telok Gong, Klang, pada 22 Jan lalu.

“Berikutan itu, polis menahan seorang lagi ejen sindiket yang juga warga Pakistan, berusia 42 tahun, di kediamannya di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.

“Hasil soal siasat terhadap dua ejen yang ditahan, polis kemudian menahan seorang warga Pakistan berusia 27 tahun yang dipercayai menjadi ‘mastermind’ kepada sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian Covid-19, dikenali sebagai Geng Habib, di Sri Petaling pada 25 Jan lalu.”

Berikutan itu, polis juga merampas pelbagai peralatan, termasuk telefon bimbit, komputer riba, komputer, mesin pencetak, barang kemas, wang tunai berjumlah RM13,000 dan 12 keping dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19.

Imran berkata, hasil siasatan juga mendapati sindiket itu mula aktif sejak Ogos 2020 menggunakan orang tengah atau ejen bagi mendapatkan pelanggan dalam kalangan warga Pakistan.

Katanya, sindiket itu juga dikatakan menyalahgunakan pelbagai nama hospital swasta dan makmal dengan mengenakan bayaran RM300 kepada pelanggan.

“Semua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

“Polis memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 kerana ia membahayakan kesihatan orang ramai dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.