`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 19, 2021

Jejambat retak undang perkara buruk, kata Ahli Parlimen Sabah

 

Gambar keretakan pada jejambat Hilltop Luyang yang tular di media sosial.

KOTA KINABALU: Kebimbangan pengguna yang menuntut siasatan segera dilakukan terhadap keretakan di jejambat Hilltop Luyang di sini turut didengar Ahli Parlimen DAP.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, siasatan perlu dilakukan oleh badan bebas kerana masalah itu membabitkan kepentingan awam dengan mempertaruhkan keselamatan mereka.

“Kerja pembaikan sahaja tidak cukup. Siasatan mendalam diperlukan bagi menentukan mengapa penghadang di tepi jejambat teralih,” katanya dalam kenyataan.

“Sesuatu yang buruk pasti berlaku jika terbukti masalahnya bukan akibat ‘kerja Tuhan’. Kita perlu mengenalpasti dan memastikan punca sebenar, sama ada kegagalan reka bentuk atau kecuaian pembinaan,” kata Chan, sambil menambah siasatan perlu dijalankan secara bebas dan telus.

Setiausaha DAP Sabah itu berkata, jejambat berkenaan sebahagian daripada fasa pertama kerja pelebaran dan menaik taraf di sepanjang Jalan Lintas, dari tol Tuaran ke lapangan terbang, sejauh 21.6km.

Katanya, kos pembinaannya RM250 juta dan dibuka kepada orang ramai pada akhir 2017.

“Masih belum ada jawapan yang memuaskan dari pihak berwajib. Ini menunjukkan kurangnya desakan dalam menangani masalah keselamatan jalan raya yang serius ini, ” katanya.

Kekesalan Chan terus disuarakan biarpun, rakan DAP Sabah, ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, sudah mengeluarkan dua kenyataan media mendesak Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan sewajarnya.

JKR memberitahu Borneo Post Ahad lalu, pihaknya sudah menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti bahagian yang retak di jejambat terbabit dan merumuskan kaedah pembaikan kekal tanpa mengganggu lalu lintas sedia ada.

Jabatan itu menambah, masalah sebenar tidak begitu serius seperti didakwa di media sosial. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.