`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, January 12, 2021

Keputusan saringan Covid-19, gelang kuarantin antara syarat tambahan ke Kelantan

 

Kelantan mengenakan dua syarat tambahan, selain surat kebenaran pihak berkuasa bagi membendung penularan Covid-19 di negeri itu. 

KOTA BHARU: Mulai tengah malam ini, mana-mana individu yang memasuki Kelantan untuk tujuan khusus mesti menyertakan surat keputusan bebas Covid-19 dan akan dipakaikan gelang merah jambu bagi tujuan kuarantin selama 10 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Izani Husin berkata, ia merupakan syarat tambahan selain surat kebenaran pihak berkuasa bagi membendung penularan Covid-19 di negeri itu yang semakin meningkat.

“Kita tidak mahu ada jangkitan daripada kluster luar yang boleh menyebabkan penularan,” katanya selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Kota Darulnaim yang dipengerusikan Menteri Besar, Ahmad Yakob.

Izani berkata, berdasarkan peningkatan kes Covid-19 di Kelantan, kerajaan negeri akan menambah dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini dan Gua Musang.

“Di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) boleh memuatkan 150 katil dan satu lagi di Dewan Sivik Gua Musang yang memuatkan 100 katil.”

Ini kerana, katanya, jumlah pesakit yang ditempatkan di Dewan Jubli Perak yang boleh memuatkan 120 katil hampir penuh.

Beliau berkata, persiapan sudah dilakukan untuk membuka dua pusat baru itu pada bila-bila masa.

Izani menasihatkan rakyat mematuhi SOP dan majlis keramaian seperti kenduri atau aktiviti di pusat rekreasi dan taman persendirian tidak dibenarkan.

“Majlis akad nikah masih dibenarkan, tetapi dalam jumlah yang ditentukan saja, manakala premis makanan dibenarkan buka sehingga 9.30 malam.”

Beliau berkata, Kelantan kini mencatatkan 1,393 kes dengan 18 kluster dan beliau kecewa dengan peningkatan itu apabila rakyat dilihat tidak cakna dan mengambil mudah risiko virus itu.

Katanya, ia berpunca daripada pengabaian SOP seperti kumpul beramai-ramai di tempat tertentu dan kemasukan rakyat dari luar yang menyumbang kepada peningkatan kes. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.