Teringat perbualan saya dengan seorang pegawai tinggi polis pada 1980-an. Cakap cakap kosong saja . Entah bagaimana tiba tiba-timbul cerita orang Melayu. Hidup orang Melayu , ekonomi orang Melayu, dan sebagainya .
Berkata lah pegawai polis itu bahawa orang Melayu ada “PHD”. Bukan “Doctor of Philosophy”. Bukan doktor falsafah. Yang dimaksudkan “PHD”, kata beliau, ialah Perasaan Hasad Dengki. Dengki itu terhadap orang Melayu juga katanya.
Lalu beliau buat seketika memberi beberapa contoh “orang Melayu tikam orang Melayu” sebelum kami beralih ke topik lain. Bola sepak kalau tak silap saya. Sudah lama saya tidak mendengar khabar pegawai berkenaan. Tentunya sudah bersara. Oh…perlu nyatakan beliau orang Melayu.
Teringat juga satu “joke” atau jenaka yang saya dengar lebih 10 tahun lalu. Jenaka itu saya ingat tapi yang berjenaka tidak ingat. Maaf. Apa pun jenaka itu begini:
“Di permukaan neraka ada lubang dan setiap lubang dikhaskan untuk setiap bangsa di dunia. Maknanya ada lubang untuk orang putih yang berdosa, ada lubang untuk orang Cina, India, dan lain-lain bangsa. Tentulah ada lubang untuk orang Melayu yang berdosa.
Orang Cina yang banyak dosa akan dihumban ke neraka melalui lubang khas untuk orang Cina. Begitu juga untuk pendosa bangsa lain. Mengawal lubang-lubang itu ialah penjaga yang bengis.
Tugas penjaga ialah memastikan penghuni neraka tidak keluar ke permukaan dan lari. Di setiap lubang penghuni akan cuba melepaskan diri. Contohnya di lubang Cina, mereka akan cuba panjat keluar dengan memijak bahu rakan untuk naik ke permukaan. Ertinya orang Cina bergotong-royong saling membantu untuk membolehkan kalangan mereka ke permukaan.
Namun setiap kali berjaya ke atas penjaga akan menghumban mereka kembali ke neraka. Begitulah keadaannya setiap kali dan di setiap lubang .
Akan tetapi lubang khusus untuk orang Melayu tidak ada penjaga ditugaskan. Kerana setiap kali ada orang Melayu yang cuba naik ke permukaan neraka, ada orang Melayu lain yang akan tarik dia ke bawah. Maka tidak perlu penjaga. Tugas penjaga dilaksanakan penghuni neraka Melayu sendiri.”
Bila saya dengar jenaka itu saya ketawa . Dalam tawa saya faham akan mesejnya. Ia ada kaitan dengan “PHD” yang diperkatakan pegawai polis kenalan saya bertahun lalu.
Teringat pula saya kata-kata Sasterawan Negara Usman Awang: “Melayu itu orang yang bijaksana, nakalnya bersulam jenaka”. Itu sekadar secebis daripada sajak Allahyarham berjudul “Melayu”.
Jenaka atau apapun, benarkah orang Melayu ada “PHD”? Orang Melayu tidak mahu orang Melayu naik dan berjaya selain dirinya sahaja?
Tetapi tidak boleh juga dinafikan orang Melayu sayang bangsanya. Kadangkala terlalu sayang. Sehingga tahap toleran yang cukup tinggi terhadap bangsanya walaupun ada kelemahan dan kepincangan berlaku. Semata-mata atas nama Melayu .
Istilah “orang Melayu kita” kerap digunakan. Di pejabat umpamanya, yang diketuai orang Melayu. Jika si ketua itu tidak cekap dan sebagainya sering didapati kakitangannya berbangsa Melayu mengambil sikap amat toleran dan “memaafkan” segala kepincangan kerana dia, si ketua itu “orang Melayu kita”.
Lebih baik dia daripada diketuai Cina, India atau lain, kata mereka.
Oleh kerana bagi orang Melayu, kata Usman Awang, “maruah dan agama dihina jangan”, tampil orang Melayu yang dilihat agamawan “menasihati” orang Melayu, yang semestinya Islam, wajib menyokong pemimpin Melayu, yang juga semestinya Islam.
Walaupun yang disokong tidak secekap dan tidak sebersih pemimpin bukan Islam kerana “setidak tidaknya pemimpin Melayu ada agama Islam”.
Maka istilah “Melayu-Islam” diagungkan. Dada lapang hati senang bila pemerintah Melayu-Islam wujud. Disokong semata-mata ia Melayu-Islam. Pemimpinnya dikagumi kerana memulakan perutusan dengan bismillah dan mengakhiri dengan bacaan doa.
Kepincangan dan kelemahan yang tidak dinafi wujud diberi toleransi kerana yang melakukannya kerajaan Melayu-Islam.
Apa pula yang didapati sebagai ganti? Sedikit bantuan tetapi tidak seperti yang diharapkan dan dihebah-hebahkan. Tanyalah Mak Cik Kiah. Khususnya di waktu ini, ketika wabak Covid-19 terus menular.
Benar kata bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, bahawa “wage subsidies” yang dijanjikan kerajaan sudah kekeringan dana. Sehari sebelum PKP baru diumumkan, Rafizi menegaskan yang menderita ialah rakyat yang didenda, dipenjara, dan ada yang mati semasa PKP pertama dulu .
Yang terus hidup, kata beliau, susah untuk mendapat pekerjaan dan bagi yang ada kerja dalam keresahan memastikan mereka terus ada pekerjaan.
Dalam pada itu, kata Rafizi, tidak seorang pun menteri dan ahli politik yang hilang pekerjaan.
Bagi Rafizi, rakyat biasa dalam keadaan “kalah-kalah atau “lose-lose”. Beliau bercakap dalam konteks rakyat, bukan orang Melayu secara khusus. Pun begitu bagi saya maksudnya agak jelas apabila beliau dipetik berkata “di Malaysia semuanya ok selagi ada Melayu dan Islam, kalah-kalah pun tak mengapa”.
Ada lagi yang beliau katakan: “Saya menerima hakikat rakyat Malaysia jenis yang tidak ambil peduli dan suka dibuli selagi si pembuli itu sebangsa dengannya”.
Bolehkah disimpulkan mesej beliau ialah bagi orang Melayu-Islam semuanya baik-baik sahaja dan boleh diperlakukan apa sahaja asalkan diperintah kerajaan Melayu-Islam?
Namun sudah ada juga kedengaran suara marah dalam kalangan Melayu-Islam terhadap kepimpinan Melayu-Islam, terutama cara ia memerangi Covid-19. Ada yang tidak lagi menyokong membabi buta ketika darurat sudah diisytiharkan.
Ada yang boleh baca keadaan seperti yang dihuraikan seorang kawan Melayu-Islam melalui Facebooknya: “Di kala Covid-19 adalah ancaman kepada rakyat, namun pada sisi yang lain Covid-19 juga adalah penyelamat sebuah kerajaan yang tidak stabil. Begitulah babak pandemik yang masih panjang. Moga baik-baik saja”.
Kata Usman Awang: “Berkelahi cara Melayu , menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum, marahnya dengan diam, merendah bukan menyembah, meninggi bukan melonjak”.
Waullahualam. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.