KUCHING: Seorang pekerja binaan warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan di Kuching tahun lalu.
Tertuduh, Kusno, 52, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah di hadapan majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali hari ini.
Hukuman penjara bermula pada 18 Ogos 2020, iaitu tarikh dia ditahan.
Tertuduh dimasukkan ke hospital dipercayai akibat jangkitan kencing tikus (leptospirosis) pada 8 Ogos 2020.
Dia melakukan kesalahan itu terhadap seorang jururawat berusia 23 tahun keesokan harinya sekitar 8 malam.
Ketika kejadian, tertuduh didakwa mendekati jururawat itu yang sedang menyiapkan ubat untuk pesakit lain di wad dan berkata: “Saya nak itu”.
Jururawat yang tidak jelas dengan permintaan itu memintanya mengulangi pertanyaan. Dia kemudian terus menyentuh bahagian sulit mangsa sambil berkata: “Ini.”
Mangsa bergegas ke arah rakan sekerjanya untuk meminta bantuan sebelum membuat laporan polis.
Tertuduh yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia, akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara.
Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya, Mohd Adzmei Ahmad. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.