`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 13, 2021

Polis selamatkan 43 wanita asing mangsa buruh paksa

 

Polis berkata 37 warga Indonesia dan enam wanita Kemboja itu bekerja sebagai tukang cuci dan dipercayai dieksploitasi mengikut takrifan sebagai buruh paksa. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan 43 wanita asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi kerja secara paksa oleh sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan di Cheras awal pagi tadi.

Mangsa terdiri daripada 37 warga Indonesia dan enam wanita Kemboja berusia 20 hingga 43 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Fadil Marsus berkata, polis membuat lima serbuan berasingan di Cheras dan menahan 18 suspek lelaki dan seorang wanita.

Beliau berkata, tiga daripada 19 suspek berusia 25 hingga 60 tahun itu dipercayai pemilik dan pengurus syarikat, selebihnya berperanan sebagai penjaga asrama pekerja dan menghantar mangsa ke tempat kerja.

Fadil ketika ditemui Bernama di Bukit Aman berkata, semua mangsa bekerja sebagai tukang cuci dan dipercayai dieksploitasi mengikut takrifan sebagai buruh paksa.

“Hasil semakan mendapati semua mangsa mempunyai dokumen perjalanan sah dan hanya segelintir daripada mereka mempunyai dokumen tamat tempoh, manakala siasatan awal polis mendapati kes berkenaan mempunyai isu pembayaran gaji.”

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala semua mangsa diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 44 akta sama.

Katanya, semua suspek yang terdiri daripada 14 warga asing dan lima warga tempatan itu direman sehari bagi membantu siasatan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.