`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 28, 2021

Saring banduan sebelum bawa mereka ke mahkamah, kata Majlis Peguam

 

Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir berkata peguam perlu dilindungi ketika berbincang mengenai kes dengan anak guam mereka yang ditahan di penjara.

PETALING JAYA: Majlis Peguam Malaysia menggesa pihak berkuasa penjara untuk menyaring tahanan dan memastikan mereka bebas Covid-19 sebelum dibawa ke mahkamah, katanya yang bimbang peguam berdepan risiko dijangkiti.

Presidennya Salim Bashir berkata, tahanan reman mahupun banduan yang sabit kesalahan, adalah kontak rapat dengan peguam mereka ketika perbicaraan atau rayuan didengar.

“Oleh kerana tahanan yang dijangkiti mungkin tidak bergejala, kami menggesa pihak penjara untuk mengambil semua langkah perlu bagi memastikan peguam dan pihak lain tidak terdedah,” katanya kepada FMT.

Salim berkata demikian susulan perbicaraan jenayah yang disambung semula, selepas ditangguhkan sejak Disember lalu.

Katanya, Majlis Peguam juga maklum dengan kejadian di Mahkamah Tinggi di Seremban awal bulan ini apabila 16 tertuduh yang didakwa atas kesalahan keselamatan diuji positif Covid-19.

Ini mengakibatkan peguam, timbalan pendakwa raya dan kakitangan mahkamah terpaksa menjalani kuarantin selama kira-kira 10 hari.

FMT difahamkan bahawa tertuduh ditahan di Penjara Sungai Udang, Melaka tetapi ditahan di lokap di Nilai apabila kes mereka berlanjutan selama beberapa hari.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dalam satu pekeliling berkata, perbicaraan jenayah akan disambung semula walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) atau PKP bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa.

FMT turut difahamkan bahawa pendaftar Mahkamah Tinggi dan rendah akan menghubungi pihak berkuasa penjara di seluruh negara, 10 hingga 14 hari sebelum perbicaraan dan rayuan diadakan untuk memastikan tahanan bebas Covid-19.

Menurut satu sumber kehakiman, garis panduan yang ketat akan dilaksanakan ketika tahanan dan saksi hadir di mahkamah.

Bagaimanapun, kebimbangan virus itu menjangkiti tahanan cukup nyata apabila mereka ditahan di penjara transit atau lokap polis ketika perbicaraan dilanjutkan selama beberapa hari, kata sumber itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.