`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 30, 2021

Terpedaya ‘cinta’ Instagram, pesara swasta patah hati, rugi RM57,300

 

Wanita itu yang teruja untuk menerima hadiah ‘tersangkut’ di lapangan terbang, membuat hampir 10 transaksi ke dua akaun bank.

PETALING JAYA: Terpedaya dengan “cinta” di Instagram, seorang pesara swasta wanita kerugian RM57,300 akibat sindiket “love scam” baru-baru ini.

Mangsa berusia 55 tahun itu, yang sebelum ini bekerja kilang, mendakwa berkenalan di laman media sosial berkenaan dengan seorang lelaki yang mengaku tinggal di luar negara, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Noorzainy Mohd Noor.

“Selepas beberapa bulan, mereka mula menjalin hubungan cinta dan lelaki itu berjanji akan datang untuk bertemu dengan mangsa di Malaysia serta berkahwin dengan wanita tersebut.

“Mangsa juga percaya dengan janji manis lelaki berkenaan yang kemudian memaklumkan mahu menghantar hadiah sebagai tanda cintanya, sebelum dia dihubungi seorang individu lain yang mengaku dari syarikat kurier,” katanya menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun, hadiah tersebut kononnya terpaksa ditahan di lapangan terbang oleh pihak kastam, kata Noorzainy.

Tambahnya, wanita itu yang teruja untuk menerima hadiah tersebut telah membuat hampir 10 transaksi ke dua akaun bank yang diberikan secara berperingkat membabitkan jumlah RM57,300.

Wanita berkenaan akhirnya menyedari ditipu selepas suspek terus-menerus meminta bayaran malah mangsa turut diugut akan ditangkap oleh pihak kastam jika gagal berbuat demikian.

Mangsa kemudiannya menceritakan kepada rakannya tentang kejadian tersebut dan membuat laporan polis di Daerah SPU semalam, kata Noorzainy. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.