`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 1, 2021

Sejarah ‘Bendera Putih’

 

Antara 1860-an dan 1890-an, Pulau Pinang berdepan dengan masalah samseng atau kongsi gelap yang bermaharajalela. Kongsi gelap ini, atau persatuan sulit; dianggotai oleh orang Cina, dan juga Melayu. Pergaduhan dan rusuhan antara kongsi-kongsi gelap ini sering berlaku di mana misalnya, ketika Rusuhan Pulau Pinang pada 1867; dua kumpulan samseng Melayu telah berebutkan kawasan.

Kumpulan penyangak ini diketuai oleh Tuan Chee, pemimpin Bendera Putih dan Che Long, pemimpin kepada Bendera Merah. Che Long dikatakan beroperasi di Acheen Street yang juga dirujuk sebagai “Kampung Che Long” iaitu sebagai menandakan pengaruhnya di kawasan tersebut.

Kongsi gelap atau samseng Melayu ini, seperti dirujuk di atas dikenal sebagai kumpulan Bendera Putih dan Bendera Merah. Pada awalnya kumpulan-kumpulan ini berperanan sebagai kelab kebajikan di mana mereka akan memberikan perlindungan kepada mana-mana peniaga yang memerlukan. Anggota kumpulan ini menyertai kongsi dengan sukarela.

Selain itu, jauh lebih awal iaitu dalam 1830-an; kumpulan Bendera Putih dan Bendera Merah ini berdiri untuk menguruskan acara keagamaan seperti sambutan Muharram khususnya perarakan tabut, dalam kalangan Jawi Peranakan (mamak) bermazhab Syiah yang menyambut upacara perkabungan Karbala. Kumpulan ini berperanan sebagai persatuan yang mengendalikan urusan kenduri-kendara, perkahwinan, kematian dan macam-macam lagi. Mereka juga menganjurkan persembahan Boria.

Akan tetapi menjelang 1850-an, para banduan dibenarkan terlibat dalam acara sambutan Muharram ini, di mana jika berkelakuan baik akan membolehkan banduan ini menerima “ticket of leave” atau semacam parol pada 1857. Sedikit sebanyak perarakan Muharram dan kongsi gelap ini mulai dipandang serong.

Apa yang dikhuatiri terjadi akhirnya berlaku, kerana pada 1860-an, acara Muharram ini mula diserapi samseng yang pernah menyertai kongsi gelap Cina. Samseng ini membawa sama pengaruh buruk dan dendam lama. Kebanjiran penyangak ini dalam kongsi-kongsi gelap Melayu membolehkan berlakunya kerjasama antara kumpulan Melayu dan Cina. Misalnya Bendera Putih akan berpakat dengan kumpulan Ghee Hin, kesatuan ini sebagai contoh berlaku pada 1865. Manakala Bendera Merah pula bersatu dengan puak Toh Peh Kong pada 1863.

Kejadian rusuhan di Pulau Pinang pada 1867 misalan berpunca dari pergaduhan antara Bendera Putih dan Bendera Merah ketika perayaan Muharram. Pergaduhan itu menjadi panas ekoran turut melibatkan kongsi gelap Ghee Hin dan Toh Peh Kong.

Menurut Mahani Musa, sejarawan yang banyak menulis mengenai konflik samseng ini, kumpulan Bendera Putih dan Bendera Merah ini kebanyakannya berpangkalan di masjid. Adalah dipercayai terdapat sekitar 3,000 ke 4,000 orang anggota Bendera Merah mendepani kumpulan Bendera Putih dan Ghee Hin yang jumlah mereka mencapai sehingga 25,000 orang. Bendera Putih dan Toh Peh Kong memiliki kelebihan kerana mereka didanai oleh para tauke yang terdiri dari peniaga kaya bahkan pembekal senjata di sekitar Pulau Pinang.

Puak Bendera Putih menganjur dari kawasan Chulia Road, Macalister Road, Jalan Bahru, Masjid Kapitan Kling, Kelawei, Tanjung Tokong, Hutton Lane, Lorong Takia, Pulau Tikus, dan Pintal Tali. Geng Bendera Merah pula menguasai kawasan seperti Bayan Lepas, Titi Papan, Ayer Itam, Jalan Sampah, Dato Kramat, Sungai Pinang, Batu Uban, Batu Maung, dan Penang Road. Mereka juga bertapak di Sungai Nibong, Kampung Bahru, Telok Kumbar, dan Telok Jelutong, termasuk Sungai Gelugor.

Rusuhan Pulau Pinang itu memberi kesan buruk kepada perniagaan. Mahani Musa seterusnya dalam “Malays and the Red and White Flag Societies in Penang, 1830s-1920s” menjelaskan pada 4 Ogos 1867, tokoh agama di Pulau Pinang iaitu Sheikh Omar Basheer mengeluarkan fatwa yang mana-mana orang Islam yang terlibat dalam gerakan kongsi gelap ini dianggap murtad.

Ekoran dari itu lebih 7,000 anggota kongsi gelap hadir di hadapan Sheikh Omar untuk bertaubat. Mereka terdiri dari kalangan peniaga, guru, pemungut cukai, polis, dan ada juga bergelar haji. Mereka yang bertaubat kemudian diberi sepucuk surat pemutihan. Seterusnya, nama Bendera Putih dan Bendera Merah ini disenarai hitam oleh kerajaan Negeri-negeri Selat menerusi ordinan “The Dangerous Societies Suppression Ordinance XIX of 1869”.

Kira-kira 150 tahun kemudian, Bendera Putih muncul lagi dalam sejarah Malaysia apabila Nik Faizah Nik Othman yang merupakan Timbalan Ketua Wanita Amanah Kelantan menggagaskan Kempen Bendera Putih untuk membantu mereka yang tertekan dan terdesak ekoran kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemik Covid-19 serta masalah ekonomi yang semakin sengit dan serius.

Mereka yang kesuntukan dan berdepan dengan kesempitan hidup boleh mengibarkan bendera putih di hadapan rumah, di mana penggerak kebajikan serta persatuan kejiranan boleh mengambil tindakan segera membantu mereka. Ini bagi mengelakkan mereka yang berdepan dengan kesempitan kewangan mengalami masalah kesihatan mental yang serius, lantas memilih jalan singkat dengan membunuh diri atau merompak.

Gerakan Bendera Putih ini kelihatan mendapat sambutan yang mana semakin ramai rakyat yang kesusahan ekoran ketidakpedulian dan keciritan kerajaan hari ini terpaksa menelan rasa segan dan malu, lantas merayu bantuan penduduk setempat. Gerakan ini menjadi popular sekelip mata, sehingga terdapat bekas ahli politik Pakatan Harapan yang khianat dan menyertai Perikatan Nasional tergamak mahu menjadikan Bendera Putih tunggangannya.

Tidak kurang pula yang kelihatannya merasa rimas dengan gerakan Bendera Putih ini ialah tokoh Parti Islam Se-Malaysia, Nik Abduh Nik Aziz, yang berpendapat adalah lebih baik berdoa dari mengaku kalah.

Sudah tentu Nik Abduh tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya kerana gagal membaca mesej Bendera Putih itu malah mengaitkannya dengan keputusasaan. PAS juga nampaknya tidak berkenan dengan Bendera Putih ini kerana menganggap mereka menggunakan kod warna putih ini terlebih dahulu, khusus untuk membantah ICERD pada 2019.

Terdapat juga suara yang tidak bersetuju dengan kempen ini, kerana berpendapat ia simbolisme yang salah dan mengelirukan. Hal ini misalnya terlihat pada Nik Abduh yang mentafsir salah kempen tersebut. Hal ini berlaku barangkali kerana kegagalan segelintir dalam kalangan masyarakat untuk membaca atau memahami interaksi simbol.

Dalam ilmu sosiologi terdapat satu gagasan yang dikenal sebagai “symbolic interactionism”. Ia bermaksud seseorang, atau sesebuah kumpulan, berhubung dengan masyarakat terbanyak dengan menggunakan lambang tertentu. Dalam konteks ini, individu yang tertekan akan berinteraksi dengan menggunakan kod warna untuk menjelaskan nasib sengsara mereka dan mengharapkan bantuan kebajikan.

Untuk sesetengah keadaan kod warna dan simbolik begini gagal dibaca oleh ramai orang. Ini menyebabkan salah erti dan ketidakfahaman yang menyimpang. Sebagai contoh, jika kita merujuk kembali peranan asal Bendera Putih dan Bendera Merah adalah untuk menyelia perarakan Muharram masyarakat Syiah tempatan.

Perarakan yang dimaksudkan adalah usungan tabut di mana penganut mazhab Syiah Pulau Pinang lebih 100 tahun lalu akan mengingati kejadian 10 Muharam iaitu peristiwa pembunuhan Husayn Ali cucu Rasulullah, seraya berkabung dengan memakai baju hitam dan membawa keranda di jalanan. Untuk mereka yang gagal memahami tindak-tanduk perarakan ini, akan segera menghujahkan mereka yang terlibat itu sebagai ‘sesat’ atau ‘pelik’.

Akan tetapi sebetulnya, perarakan tersebut hanyalah untuk mengingat kembali kejadian dahsyat dan tragis tersebut.

Tidak dapat dihujahkan apakah gerakan Bendera Putih yang sedang mendapat perhatian ini boleh menjadi gelombang politik. Pun, ia cukup menarik kerana ada anggota Perikatan Nasional ikut sama cuba menenggek sementara mereka yang dari PAS pula berasa terganggu. Ini menjadi petunjuk bahawa Bendera Putih boleh sahaja menggelombang dan bertukar menjadi satu kebangkitan gerakan kepembangkangan untuk menolak pemerintahan Mahiaddin Yasin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.