`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 12, 2021

Nagaenthran sudah terima proses perundangan sewajarnya, kata Singapura

 

Nagaenthran K Dharmalingam dijadualkan menjalani hukuman mati pada 10 Nov 2021, namun mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas disahkan positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya. (Facebook pic)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan sudah pun membalas surat rakan sejawatan dari Malaysia, memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang sedang menunggu hukuman mati atas sabitan kesalahan dadah di republik itu telah menerima proses perundangan sewajarnya.

Menurut laporan Bernama, ini berdasarkan kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Singapura sebagai menjawab pertanyaan media mengenai surat yang diutus pemimpin Malaysia berhubung penghakiman kes Nagaenthran K Dharmalingam, 33, rakyat Malaysia yang berasal dari Perak.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah sebelum ini telah mengutus surat kepada rakan sejawatan di Singapura, meminta budi bicara pihak berkuasa di Singapura untuk memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata: “Dalam hal ini saya kena ulang, kita boleh memohon melalui cara kita, berhubung dengan mengutus surat, tetapi kita tidak boleh campur dari segi urusan dan proses undang-undang di negara Singapura.”

Beliau ketika itu turut memberitahu pemberita, Malaysia menghormati proses undang-undang Singapura.

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72g dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden.

Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak pada 1 Jun 2020.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 Nov 2021, namun mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

Susulan itu, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.