`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 12, 2021

Sektor pekerjaan jangan diskriminasi bekas penagih, kata MASAC

 

Penghuni pusat serenti perlu diberi pendedahan dan pengetahuan baru agar mereka dapat bekerja dengan lebih berkesan ketika dibebaskan, kata Timbalan Presiden Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) Ramli Abdul Samad.

PETALING JAYA: Kerajaan digesa meminda atau menambah baik dasar buruh dengan menyediakan lebih banyak peluang atau skim yang memanfaatkan bekas penagih dadah untuk kembali dalam sektor pekerjaan.

Timbalan Presiden Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) Ramli Abdul Samad berkata komitmen kerajaan ini mampu mencerminkan kesungguhan dalam membantu penagih dadah berhenti daripada penyalahgunaan benda terlarang itu.

Tegasnya, insentif sedia ada perlu ditambah baik dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan iaitu “lebih lama kekal, lebih tinggi kadar bayaran”.

“Hal ini boleh berikan motivasi kepada majikan dan pekerja untuk kekalkan pekerjaan dan bukan hanya pengambilan semula.

“Kadar kebergantungan terhadap pekerja asing dan aliran tunai keluar negara juga dapat dikurangkan,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Kebangsaan Penyalahgunaan Dadah Resolusi 2.0 secara maya.

Ramli berkata, bantuan pekerjaan secara tetap seharusnya tidak mempunyai had masa tertentu seperti yang ditetapkan antara enam hingga 12 bulan kerana masih ramai bekas penagih dadah mahukan kerja tetap.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memberi pelepasan cukai sebanyak RM4,000 seorang kepada majikan yang mengambil bekas penagih dadah sebagai pekerja.

“Ia mampu menggalakkan majikan melihat aspek positif serta mengambil peluang yang ada.

“Selain itu, terdapat peluang baru yang membolehkan bekas penagih dadah berhak untuk melakukan caruman PERKESO,” katanya.

Dalam pada itu, ketika membentangkan resolusi dasar dan hala tuju aktiviti pencegahan penagihan dadah, Ramli berkata, penghuni pusat serenti perlu diberi pendedahan dan pengetahuan baru agar mereka dapat bekerja dengan lebih berkesan ketika dibebaskan.

“Contohnya pengetahuan tentang e-digital ekonomi. Dengan pengetahuan baharu ini, bekas penagih dadah dapat menjana pendapatan yang lebih baik di samping majikan mendapat reputasi yang terpuji dan dihormati,” katanya.

Mengulas mengenai Dasar Dadah Negara (DDN), beliau menggesa kerajaan menambah baik program sedia ada dengan melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Ketua Jabatan berkaitan bagi menggerakkan strategi dan kolaborasi di peringkat kebangsaan.

“Proses penambahbaikan Dasar Dadah Negara perlu melibatkan pemegang taruh terpilih merangkumi pakar pengiklanan, ahli akademik, pemberi perkhidmatan, NGO dan masyarakat sivil.

“Malah, perancangan perlu berasaskan pembuktian saintifik dengan melibatkan bersama pemegang taruh dan paling utama memberi tumpuan kepada punca utama (penagihan dadah),” katanya.

Untuk rekod, DDN diperkenalkan pada 1996 dan diperkemaskan semula pada 2004. DDN merupakan kerangka kerja yang komprehensif dalam usaha mencegah, merawat, memulih, menguatkuasakan undang-undang dan mengurangkan kemudaratan masalah penagihan dadah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.