KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menyeru pasangan yang bernikah menggunakan khidmat sindiket “Lebai Lah” dari Kuala Krai supaya tampil menghubungi agensi itu untuk mengesahkan sama ada pendaftaran pernikahan mereka sah mengikut hukum syarak atau sebaliknya, berikutan penahanan bekas imam itu pada 28 Okt lepas.
Pengarahnya, Che Mohd Rahim Jusoh berkata, susulan penahanan bekas imam itu, anggota penguat kuasa turut merampas beberapa dokumen berkaitan perkahwinan seperti borang dari Thailand.
“Kita dapati sindiket ini bergiat agak lama, bukan sahaja kepada pasangan di Kelantan, tetapi pasangan dari negeri lain. Malah, upah yang dikenakan juga dipercayai berbeza-beza, terutama pasangan bukan dari negeri ini.
“Oleh itu, kita seru pasangan yang berkahwin dengan sindiket ‘Lebai Lah’ tampil ke hadapan supaya perkahwinan mereka dapat disahkan oleh mahkamah ataupun tidak,” katanya dalam sidang media di Pejabat JAHEAIK, Lundang.
Mengulas lanjut, jumlah sebenar pasangan yang berkahwin melalui cara itu sukar diketahui kerana sindiket terbabit sudah lama bergiat sehingga menyukarkan pihaknya menentukan jumlah sebenar pasangan yang berdaftar dengan “Lebai Lah”.
“Kesan kepada perkahwinan yang tidak didaftarkan ini termasuklah menimbulkan masalah dari sudut penentuan nasab keturunan, kesukaran dalam permohonan Sijil Kelahiran Anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menyukarkan urusan pendidikan anak-anak dan membuat tuntutan berkaitan perceraian, rujuk, harta pusaka, perwalian dan sebagainya.”
Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket nikah dikenali “Imam Wahab” di Rantau Panjang; Imam Che Mud di Machang dan “bekas Imam Muda” di Ketereh.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, program Pemutihan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara Tanpa Kebenaran: ‘Saat Nikah Hidup Berkat’ peringkat Kelantan selama tiga bulan yang bermula hari ini bertujuan menggalakkan pendaftaran perkahwinan secara sukarela bagi pasangan yang telah berkahwin tanpa kebenaran, termasuk perkahwinan berlawanan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.
“Pengurusan Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) Orang Islam Kelantan tertakluk keadaan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002, Kaedah Nikah Cerai (Fi dan Borang-borang) 2003.
“Mengikut Seksyen 25 enakmen tersebut: Perkahwinan selepas tarikh ditetapkan tiap-tiap orang bermastautin dalam negeri ini dan perkahwinan tiap-tiap orang yang tinggal di luar negeri tapi bermastautin dalam negeri ini hendaklah didaftarkan mengikut enakmen ini.”
Katanya, untuk menyertai program pemutihan itu, pemohon atau pasangan boleh hadir bila-bila masa pada waktu pejabat dengan membawa dokumen berkaitan seperti sijil nikah, surat pengesahan nikah luar negeri atau negara, salinan kad pengenalan diri dan pasangan serta dokumen berkaitan untuk tapisan tentang perkahwinan mereka.
“Bagi pemohon atau pasangan yang tidak cukup dokumen juga boleh hadir membuat permohonan tersebut. Kita yakin program ini dapat menyelesaikan banyak permasalahan rakyat dan memberikan impak positif kepada seluruh rakyat di negeri ini ke arah melahirkan keluarga dan masyarakat sejahtera.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.