`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 4, 2021

Pemimpin PAS Melaka dan Deepavali

 

Baru-baru ini ada seorang pemimpin muda PAS dari Melaka memberitahu saya, haram mengucapkan Selamat Deepavali, apatah lagi menyambutnya.

“Makan muruku rangup pun tak boleh?” Dia menggeleng yakin. Saya termenung seketika.

Watak pemimpin muda PAS dari Melaka inilah yang saya selalu sebutkan kepada siswa saya, watak-watak agamawan atau lebai yang pandai berhujah hanya dengan dalil-dalil purba – tanpa mengambil kira perbahasan sosiologi – dan juga aspek-aspek kontemporari lainnya.

Pemimpin muda PAS dari Melaka ini contoh manusia yang tidak boleh atau enggan berkembang. Pandangan pemimpin muda PAS dari Melaka ini banyak bersumberkan dari lidah rasmi parti tersebut, yang mana saya diberikan satu pautan. Laporan pada pautan ini membincangkan betapa haramnya menyambut Deepavali. Saya petik dua tiga perenggan dari artikel berjudul ‘Deepavali: Hukum Menyambut Dan Mengucap Tahniah’ oleh Ahmad Mouhyideen bin Hasin terbitan ‘Berita PAS’ bertarikh 19 Oktober 2017:

“Jelasnya, perayaan Deepavali adalah perayaan agama dan bukannya adat kaum India kerana ia berkaitan dengan dewa-dewa yang disembah oleh penganut agama Hindu. Islam mengharamkan penganutnya terlibat dengan amalan/perayaan bukan Islam yang berbentuk agama sepenuhnya. Ia berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang melarang menyerupai orang bukan Islam.

“Sabda Rasulullah yang maksudnya: “Sesiapa yang meniru sesuatu kaum maka ia termasuk daripada kalangan mereka” (Riwayat Abu Daud). Rasulullah juga bersabda yang maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami orang yang meniru golongan yang lain” (Riwayat Tirmizi).

“Berkaitan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama. Syeikh Ibn Taimiyyah dan Syeikh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah adalah antara ulama yang mengharamkan ucapan tersebut. Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya Ahkam Ahli-Azzimmah berkata: “Dan adapun ucapan tahniah terhadap syiar yang telah dikhususkan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka dengan ucapan Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini atau sebagainya.”

“Golongan ulama Salafi yang terkemudian seperti Syeikh Ibn Baz, Syeikh Soleh Utsaimin dan Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Huqail juga telah mengharamkan ucapan tahniah ini dengan mengambil dalil-dalil yang diberikan oleh Syeikh Ibnu Taimiyyah dan Imam Ibnu Qayyim. Syeikh Ibrahim al-Huqail contohnya telah mengeluarkan fatwa bertajuk ‘Perayaan-perayaan Kuffar Dan Kedudukan Muslim Terhadapnya’ sebagaimana yang dikeluarkan di laman web Al- Islam Al-Yaum.”

Perhatikan perenggan yang dirujuk di atas, ia padat dari sumber Wahhabi. Kedua, Ia juga secara kesasar menggunakan dalil hadis yang menurut saya tiada kaitan dengan isu yang diketengahkan.

Ketiga, rujukan ulama yang digunakan semuanya ulama lampau yang hanya sesuai dengan zaman silamnya dan tiada bersebab atau tidak serasi dengan zaman kita yang sudah berkembang dan mengalami pelbagai proses kematangan.

Keempat, ‘laman web Al- Islam Al-Yaum’ sesuai untuk Timur Tengah dan tidak cocok dengan negara kita yang didiami oleh penganut Hindu.

Hujah-hujah beginilah yang membantutkan perpaduan dan juga kesepakatan antara agama dan kaum di negara kita. Agamawan yang seibarat pemimpin muda PAS dari Melaka inilah yang mengganggu nilai yang ada dalam negara ini. Watak persis pemimpin muda PAS dari Melaka inilah yang tidak reti ilmu-ilmu lain selain menghafal nama dan fatwa ulama purbakala. Lebih menggerunkan mereka dalam kerajaan.

Hari ini Deepavali di Malaysia, hendaklah kita jelas; telah mengalami suatu perubahan nilai dan fungsi. Ia telah mengalami apa yang dinamai ahli sosiologi sebagai pestasisasi atau “festivalization”.

Pestasisasi satu gejala atau gerakan di mana sesuatu acara besar telah mengalami perubahan pesat yang memberi impak kepada politik dan ekonomi. Sesetengah pesta atau ritual agama misalnya telah kehilangan fungsi sebenarnya, lantaran perkembangan ini, dan dalam banyak keadaan menjadi satu acara sivik (justeru bukan lagi satu acara keagamaan).

Selalunya acara ini berubah menjadi pesta (mengalami pestasisasi) kerana pertumbuhan diaspora tersebut. Diaspora adalah apabila satu-satu populasi telah melimpah mengatasi teritori atau daerah terhad, lantas menjadi trans-nasional. Oleh sebab penghijrahan, pekerjaan, dan perkahwinan, satu-satu komuniti mungkin telah tersebar lebih dari lokasi asalnya.

Masyarakat India misalnya tidak lagi terhad di India, tetapi malah ada di UK, AS, Malaysia, Singapura malah merata tempat. Sekiranya kita bertanyakan kepada masyarakat India beragama Hindu di benua India, Deepavali atau “Diwali” tidak dirujuk sebagai satu pesta. Ia bahkan dirujuk sebagai “puja”. Hujah inilah yang digunakan oleh pemimpin muda PAS dari Melaka bahawa ia satu perayaan keagamaan justeru haram mengucapkan tahniah atau selamat, dan bahkan haram menyambutnya.

“Puja” dalam hal ini adalah satu kata sanskrit yang berkait dengan penyembahan, dan perjumpaan atau rapat di kuil. Justeru, “Diwali Puja” datang dalam pelbagai bentuk mengikut rantaunya di benua India.

Akan tetapi apabila masyarakat India ini mengalami proses diaspora yang saya sentuh di atas, ia juga mengalami ‘festivalization’ yang kemudian menghakis sedikit sebanyak nilai keagamaan (dalam konteks ini puja) itu. Pada diaspora India, Deepavali yang mengalami pestasisasi ini kini merupakan satu sambutan awam untuk penganut Hindu, dan bukan Hindu. Di Malaysia kita menggunakan terma ‘sambutan Deepavali’ bukan sangat ‘upacara Deepavali’ (atau ibadah keagamaan).

Diaspora India-Hindu justeru kini menyambut Deepavali sebagai satu pesta dan pelbagai sambutan meriah dianjurkan di pelbagai kota besar di dunia; London, Sydney, Toronto, dan tentulah Kuala Lumpur. Deepavali kini telah menjadi satu pameran atau “showcase” kepada kebudayaan India di mana yang diperagakan ialah busana, makan-minum, budaya India, dan pelbagai lagi yang digunakan untuk mewakili identiti diaspora itu. Misalnya ke mana-mana kita pergi di pusat membeli belah awam akan kelihatan “kolam” dan “rangoli” (beras berwarna yang disusun dengan bijak) yang diidentifikasi setiap kali sambutan Deepavali.

“Boria” dan “dabus” misalnya satu upacara keagamaan penganut mazhab Syiah di negara kita sebelum kehilangan fungsi keagamaannya dan kini sekadar menjadi satu persembahan. Orang Melayu yang bermazhab Ahli Sunnah kini dengan selamba dan yakin mempersembahkan boria dan dabus tanpa kekok. Dalam hal ini Deepavali telah mengalami proses pensivikan yang menjadikan ia kini satu sambutan pelbagai bangsa di negara yang ada aneka bangsa hidup di dalamnya.

Deepavali menjadi satu kebanggaan dan kemegahan kerana inilah masanya untuk bangsa India menonjolkan tradisi dan budaya mereka, agar ikut dikenali sebagai satu diaspora. Sesuai dengan nilai keberagaman di negara kita, malah sekarang sudah ada rumah terbuka Deepavali. Peniruan tradisi “ang-pau” (merah) ketika Tahun Baru Cina membuka jalan kepada pemberian “ang-pau” hijau dalam kalangan orang Islam ketika Hari Raya. Juga, menjadi peniruan lain iaitu “ang-pau” ungu untuk sesetengah kalangan yang menyambut Deepavali.

Proses pestasisasi ini menjadi unik kerana adanya pertembungan pelbagai kaum dan agama. Diaspora selalunya gagal mempertahankan fungsi asal acara keagamaan itu kerana ia akan lama-kelamaan larut, mengalami akomodasi dengan budaya setempat dan akhirnya membentuk acuan sendiri.

Oleh sebab itu, seseorang agamawan, katakanlah pemimpin muda PAS dari Melaka haruslah berfikir kreatif, canggih, dan lebih kompleks dan bukan terperangkap di era zaman Ibnu Taimiyyah ratus tahun lalu. Atau terkurung dengan fatwa ulama Wahhabi yang tidak berpunca dengan uruf dan budaya kita seperti diperlihatkan dalam laman Berita PAS yang saya ketengahkan sebelumnya.

Dalam hal ini saya menemukan ucapan Deepavali dalam bentuk video yang canggih dari pemimpin Amanah Melaka iaitu Adly Zahari di saluran Youtube. Ini jauh lebih munasabah berbanding satu laman dan artikel di lidah rasmi PAS yang menabur haram, haram, haram, haram seolah-olah dunia tidak berkembang dari zaman sebelum. Saya memberikan alamat pautan video tersebut kepada pemimpin muda PAS dari Melaka itu, dan responnya; wah idea baik untuk meraih undi kelak. Saya terlupa yang Melaka sedang hangat dengan Pilihan Raya Negeri.

Nah, tadi haram; sekarang sudah boleh pula demi beroleh pangkah.

Betapa kolotnya. Kalaulah orang India tahu watak jengkel begini. Di kesempatan luar biasa ini, saya ingin mengucapkan selamat hari deepavali. Tatkala kita makan muruku dan segala manisan; ingatlah watak-watak sesetengah manusia seperti pemimpin muda PAS dari Melaka yang tidak sesuai dengan iklim negara kita. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.