`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 4, 2021

Umno-PAS-Bersatu: ‘Keluarga 69’ versi ‘now’

 

Kata simpulan atau peribahasa Inggeris “you can’t have your cake and eat it”. Terjemahannya anda tidak boleh ada atau tidak boleh miliki kek dan memakannya. Pelik juga bunyinya kerana kalau kita ada kek tak kan kita tidak boleh makan kek itu? Kan kek itu kita punya?

Pelawak Billy Connolly pernah bertanya (tentulah secara komedi) apa gunanya ada kek jika anda tidak boleh memakannya? Pakar bahasa, termasuk Paul Brians, professor di Universiti Washington State, menyifatkan “kekeliruan” itu ada kaitan dengan kata kerja, khususnya perkataan “to have” atau “untuk mempunyai”. Apa pun, kata Brians, adalah logik apabila anda sudah makan kek, anda sudah tidak ada kek itu lagi. Maksudnya anda tidak boleh makan kek tetapi mahu sekaligus terus memilikinya.

Agak keliru? Tidak mengapa. Bukan tujuan saya berbincang asal-usul peribahasa itu mahupun menyatakan logik atau tidak kata-kata itu. Yang nyata peribahasa itu diterima dan diguna pakai sehingga kini dengan membawa maksud seseorang tidak boleh dapat semua yang dihajati. Dua atau semua benda sekali harung. Tidak boleh dapat “best of both worlds”.

Dalam bahasa Melayu, ia boleh juga membawa erti seseorang tidak boleh hendak itu ini, atau tidak boleh makan dua-dua belah, atau makan keliling. Tiba masa keputusan atau pilihan muktamad mesti dibuat. Pilih satu sahaja.

Nasihat seperti itu banyak kali dituju kepada PAS berdasarkan hubungan parti itu dengan Umno dan Bersatu. Umno-BN ia mahu, Bersatu-PN pun ia mahu. Oleh kerana PAS sana main sini main ia dituduh main dua kolam.

Namun PAS seperti kita tahu sudah memutuskan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional pada PRN Melaka. Sekaligus Muafakat Nasional yang ditubuhnya bersama Umno tiga tahun dahulu sudah tidak wujud. Lalu sekarang PAS tidak boleh lah dituduh lagi main dua kolam. Bukan begitu?

Tak juga, kata penulis politik dan pemerhati PAS, Mohd Sayuti Omar. “Sebab PAS ni boleh ‘konar’ bila-bila masa,” kata beliau.

Setuju atau tidak dengan kata Sayuti itu terpulang, tetapi hanya satu hari selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memberitahu PAS akan guna lambang PN di Melaka, muncul AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan, berkata:

“Keputusan PAS menggunakan logo PN dalam PRN Melaka yang dibuat dalam mesyuarat semalam (1 November) tidaklah menafikan malah tidak pula memutuskan hubungan dalam Muafakat Nasional.”

Menurut Nasruddin, penggunaan lambang PN di Melaka merupakan langkah “ijtihad politik semasa PAS” bagi menghadapi Pakatan Harapan dan merencana agar Melaka tidak jatuh ke tangan PH.

Muncul pula Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, memberitahu penggunaan lambang PN hanya untuk Melaka dan ia hanya tertakluk kepada keperluan semasa parti semata-mata.

Kata beliau lagi (ini menarik), lambang PN belum tentu dipakai PAS pada PRU15. Ia akan dibincang semula “mengikut situasi politik dan keperluan PAS pada waktu itu”.

Adakah itu bermakna “naluri main dua kolam” belum terhakis, atau itu bibit-bibit awal?

Apa pun, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, menegaskan partinya menghormati keputusan PAS pakai lambang PN di Melaka. Namun beliau turut dipetik media berkata, Muafakat Nasional Umno dengan PAS “kekal utuh”.

Naib Pengerusi Umno Melaka, Mohmad Ali Mohamad, juga berkata langkah PAS di Melaka tidak akan jejas hubungan dengan PAS menerusi MN. Walaupun Umno “tidak tahu mengapa” PAS mengambil langkah menggunakan lambang PN di Melaka, Umno akan “cari jalan untuk bekerjasama dengan PAS”.

Adakah Umno juga mahu main “game” yang PAS main? Kerana persoalan timbul di mana nak letak Bersatu dalam perkiraan ini semua. Umno tidak mahu Bersatu (kerana percaya parti itu wujud untuk menghapuskan Umno) tetapi mahu PAS. PAS pula mahu Umno dan mahu Bersatu. Bersatu mahu PAS dan akan lawan sesiapa yang tidak bersama mereka atau menentang mereka. Maksudnya Umno lah tu.

Kesimpulannya, keadaannya lebih kurang begini:

PAS duduk dalam PN tapi masih mahu MN. PAS ada orangnya dalam kerajaan pusat yang dipimpin orang Umno, tetapi di Melaka ia lawan parti Perdana Menteri si orang Umno.

Untuk Melaka, PAS tolak parti Perdana Menteri dan pilih parti bekas Perdana Menteri.

Umno juga di Melaka lawan PAS, tetapi duduk bersama dalam kerajaan pusat. Lawan di Melaka kawan di Putrajaya .

Umno tolak PN tetapi Naib Presidennya Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri lantik orang PN, iaitu Bersatu, duduk dalam Jemaah Menterinya. Bersatu yang tidak ngam dengan Umno boleh sokong Ismail meskipun beliau pemimpin Umno, parti yang tak suka Bersatu.

Cukup di situ walaupun ada lagi kong kalikong ini.

Teringat filem P Ramlee – Keluarga ’69’. Bagi orang muda yang mungkin tidak biasa dengan filem itu, boleh tengok di Youtube. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.