`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 21, 2021

‘Geng Apil’ pecah rumah, larikan kenderaan mewah tumpas

 

Pemeriksaan lanjut dengan dipandu arah suspek berjaya menemukan semula lapan kenderaan curi iaitu Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry, Nissan Almera dan Perodua Alza, menurut polis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: ‘Geng Apil’ yang terlibat dalam kegiatan pecah masuk rumah dan melarikan kenderaan mewah di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu dan Kelantan berjaya dilumpuhkan pihak polis sejak dikesan aktif dua tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan, mereka turut menahan empat individu disyaki anggota sindiket itu di sekitar kajang pada 6 Disember lalu.

Katanya, suspek utama yang berusia 34 tahun dikesan memiliki 22 rekod jenayah dan dia memecah masuk rumah mangsa bersama isteri berusia 45 tahun serta dua lagi lelaki.

“Geng Apil yang semuanya berasal dari Pantai Timur berjaya ditahan selepas kita menerima laporan pada 4 Disember lalu daripada mangsa berusia 34 tahun apabila rumahnya di Taman Hijau di sini dipecah masuk manakala kereta Toyota Alphard dan Yaris dilarikan penjenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 8.44 pagi itu berlaku apabila pintu pagar automatik rumah mangsa dibuka menggunakan alat kawalan jauh sebelum pintu masuk utama diumpil dan barangan berharga mangsa bersama dua kenderaannya telah dilarikan.

“Bertindak atas laporan mangsa, sepasukan polis dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Kajang berjaya menjejaki dan menahan empat suspek di beberapa kawasan sekitar Kajang.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis juga berjaya merampas barang yang dicuri iaitu pelbagai anak kunci kenderaan termasuk alat kawalan jauh pintu pagar, enam telefon bimbit, sebuah komputer riba serta tujuh dokumen iaitu kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank milik mangsa,” katanya.

Katanya, hasil pandu arah salah seorang suspek berjaya membawa polis ke kawasan parkir kenderaan di pangsapuri Jubli Perak di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi Selangor sebelum menemukan dua kenderaan milik mangsa iaitu Toyota Yaris dan Alphard yang dicuri sebelum ini.

“Hasil soal siasat lanjut juga mendapati suspek mengaku terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah dan melarikan kenderaan di lima negeri awal tahun ini.

“Pemeriksaan lanjut dengan dipandu arah suspek, polis akhirnya berjaya menemukan semula lapan kenderaan curi iaitu Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry, Nissan Almera dan Perodua Alza yang diletakkan di beberapa lokasi antaranya tepi jalan dan parkir kawasan perumahan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan dan direman sehingga 24 Disember ini.

“Dengan tertangkapnya sindiket ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.