`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 1, 2022

PAS remehkan perpaduan Melayu-Islam dan Al-Quran?

 

Perseteruan antara PAS dan Umno adalah klasik, seolah-olah kedua-dua parti orang Melayu-Islam itu memang sudah ditentukan sejak azali lagi untuk bermusuhan.

Bukan tiada usaha untuk merapatkan saf antara mereka namun lazimnya ada sahaja yang tidak kena yang menyebabkan mereka fasakh berulang kali.

Kini keadaan dirumitkan pula dengan kehadiran sebuah lagi parti politik Melayu-Islam yang menjerumuskan mereka dalam kancah politik yang semakin mencerai-beraikan umat Islam Malaysia – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Yang menariknya ialah, ketiga-tiganya mempunyai benih politik yang sama. Baik PAS mahupun Bersatu sebenarnya lahir daripada “tulang rusuk” Umno.

Dalam kalangan ketiga-tiga parti politik itu, PAS nampaknya mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia mengisytiharkan dirinya sebuah parti politik Islam di Malaysia.

Mungkin ini untuk membezakan dirinya dengan parti-parti lain ketika ia ditubuhkan.

Atau, mungkin juga ia mahu mengabsahkan bahawa perjuangannya suci dan mulia. Ia melaungkan Islam sebagai asas perjuangannya. Pelbagai sirah diketengahkannya untuk memberitahu bahawa PAS bukan parti yang mengamalkan assabiyah atau nasionalisme sempit.

Langkah ini merumitkan PAS sendiri. Dengan menghakmilikan Islam sebagai ideologinya, ia sebenarnya menjarakkan PAS daripada kepentingan politik warga Malaysia yang bukan muslim.

Sebab itu PAS terpaksa menonjolkan sisi toleransi kepada masyarakat bukan Islam dengan menubuhkan Dewan Khas bukan Muslimnya.

Sebenarnya keadaan ini menyempitkan sedikit ruang politik PAS sendiri. Deklarasi ia sebuah parti Islam mewajibkan tatakrama politik PAS mesti tidak mengabaikan perintah politik mengikut Al-Quran dan sunnah.

Sebab itu Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat, mewasiatkan pada PAS supaya tidak usah berkira untuk berbaik dengan Umno yang dianggap tidak menurut prinsip politik Islam.

Namun realiti politik mutakhir membuktikan pimpinan PAS mengabaikan wasiat mantan Menteri Besar Kelantan yang menjadi inspirasi perjuangan mereka yang soleh dalam PAS.

Apabila Umno kecundang dalam Pilihan Raya Umum 2018, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memimpin PAS menyantuni Umno yang “patah kaki politik” hingga ia pulih.

Justeru ramai kalangan pengkagum cara pimpinan yang bening Tok Guru Nik Aziz tidak dapat melupakan wasiat Allahyarham yang dilanggar Hadi.

Namun puak penasihat Hadi mentafsirkan tingkah Hadi itu sebagai mematuhi uslub atau metodologi dakwah ikhlas PAS. Maka terbentuklah apa yang dinamakan Muafakat Nasional (MN) di antara PAS dan Umno.

Semangat dakwah Hadi membuak dan beliau mengajak PAS memperluaskan “jiwa besar” partinya dalam jaringan Perikatan Nasional (PN) pula dengan membabitkan parti serpihan Umno yang baru dilahirkan – Bersatu.

Buat seketika PAS bangga mengakui dirinya pendamai di antara Umno dan Bersatu. Kepentingan Bersatu dalam politik ditatang dengan rapi kerana Hadi melihat kehadiran Bersatu itu peluang “mengimbangi” Umno dalam kerajaan pimpinan PN.

Maka bertukarlah dasar Hadi itu menjadi satu strategi politik pula. Umno ada sebab memecat Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, ketika beliau menjadi Timbalan Presidennya.

Kini Muhyiddin sudah mempunyai Bersatu yang turut berpayung dengan PAS dan Umno bawah panji PN. Dendam Muhyiddin pada Umno yang digelarnya dipimpin kluster kleptokrat diusap mulus oleh Hadi dan PAS.

Strategi politik Hadi ini cepat merangsang Muhyiddin mencongak langkah melempiaskan dendamnya terhadap Umno apatah lagi PN telah menyamaratakan status politik Umno dan Bersatu bawah satu bumbung.

Sebagai seorang ahli politik Hadi sedar menyamaratakan status Umno dan Bersatu dalam kerajaan PN adalah perbuatan sengaja membiarkan “retak menanti belah”. Lambat laun Umno dan Bersatu pasti berbalah.

Namun Hadi yang bermula dengan alasan mahu jadi pendamai Umno-Bersatu menunjukkan belang politik sebenarnya apabila tidak segan silu mempamerkan PAS lebih condong pada Muhyiddin dan Bersatu.

Untuk PRN Johor, PAS dan Bersatu bersetuju menggunakan lambang PN. Ini membuat amarah politik Umno menggelegak.

Sebelum itu PAS mencadangkan pada Umno hasratnya mahu bertanding di semua kerusi yang Umno kalah dalam PRU ke-14 pada 2018 atas alasan mahu memperkukuhkan MN.

Hadi tahu Umno pasti menolak kerana tujuan asal Umno mencetuskan PRN Johor ialah untuk menebus kembali kerusi yang ia tewas pada PRU14 sekaligus menstabilkan kedudukannya sebagai pemimpin kerajaan Johor.

Umno yang sedar strategi PAS membuka peluang meluaskan pengaruh di Johor dan membantutkan rancangan Umno terus memerintah Johor, membalas saranan PAS itu dengan syor supaya parti itu bertanding empat kerusi sahaja.

Hadi menuduh Umno “kacang lupakan kulit” di mana PAS telah membantu memulihkan “kakinya yang patah” dan kini mahu meninggalkan PN seraya menyindir ia membuktikan Umno tamak kuasa.

Hadi mungkin ada skema politiknya sendiri namun PAS adalah parti Islam yang mesti berpegang pada firman Allah:

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Al-Hujurat 49:9)

Apa yang dilakukan oleh PAS pimpinan Hadi ini jelas bertentangan dengan perintah Allah. Sudah pasti ia menjengkelkan ahli-ahli PAS yang soleh tiga kali.

Pertama, melanggar perintah Allah. Kedua, mengamalkan sikap hipokrasi dengan berpura mahu jadi pendamai politik atas nama Islam. Ketiga, mengabaikan wasiat Nik Aziz.

Ini membuat politik Melayu-Islam semakin bercelaru dan menimbulkan persoalan: apakah politik Hadi ini Islami? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.