PETALING JAYA: DAP Sarawak bersetuju menubuhkan jawatankuasa rundingan untuk memulakan proses perbincangan kerjasama semua parti pembangkang di negeri itu.
Jawatankuasa itu akan mengetuai proses penyatuan parti pembangkang bersama DAP Sarawak dengan agenda menumbangkan gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurut laporan Astro Awani, DAP Sarawak berkata jawatankuasa itu akan diketuai Timbalan Pengerusinya Alice Lau, Setiausaha Alan Ling, dan Bendahari Chiew Chiu Sing.
“DAP Sarawak akan mengemukakan keputusan yang dibuat hari ini kepada kepimpinan Pakatan Harapan Sarawak untuk dibahaskan.
“Kita sedar kepentingan PRU yang akan datang untuk memulakan semula negara ini daripada terus jatuh ke laluan yang tidak kompeten, nilai keagamaan yang ekstrem, dan memberi semula kuasa tertinggi pentadbiran kepada golongan kleptokrat,” katanya.
Katanya, selain ketidakcekapan kerajaan dalam mengendalikan Covid-19, ekonomi dalam masa sama terus sengsara, inflasi berlaku di mana harga keperluan asas terus meningkat dalam tempoh dua tahun lalu.
“Hasilnya rakyat terus terkesan dan hidup dalam kesengsaraan akibat kos sara hidup yang meningkat daripada pengurusan yang lemah oleh kerajaan kini. Kerajaan juga tidak mempunyai pelan pemulihan Covid-19 jelas, dan dengan ini ramai rakyat sudah putus harapan terhadap kerajaan,” kata kenyataan itu.
Justeru, DAP Sarawak menegaskan pilihan raya ini adalah situasi yang penting untuk negara dan parti itu semestinya sudah terbuka untuk sebarang kerjasama positif.
“Kerjasama ini akan mengembalikan asas kerajaan yang baik, anti rasuah, dan polisi ekonomi yang progresif untuk kebaikan rakyat selaras dengan perjuangan yang berterusan untuk menegakkan hak istimewa Sabah dan Sarawak bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita mesti cuba sehabis baik untuk menyelamatkan negara ini,” katanya.
Keputusan penubuhan Jawatankuasa Perundingan ini dibuat selepas mesyuarat DAP Sarawak di Sibu, hari ini.
Turut hadir semasa mesyuarat antaranya Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Ketua Pemuda DAP Sarawak Kelvin Yii dan ADUN Pending Violet Yong. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.