KOTA KINABALU: Belum tiba masanya untuk parti Muda bercakap mengenai kerusi yang akan ditandingi di Sabah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, menurut Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sebaliknya, beliau menegaskan fokus utama parti berkenaan adalah untuk mendengar masalah-masalah yang wujud di Sabah terlebih dahulu di samping membuat tawaran kepada negeri itu.
“Sekarang kita nak fokus kepada dialog dengan wakil komuniti, masyarakat, memahami masalah mereka dan untuk kita keluarkan tawaran kita dahulu.
“Perbincangan kerusi politik kuasa ini, saya rasa ramai orang sudah muak dengar, lebih baik perbincangan (kerusi) di kalangan pakatan atau rakan-rakan politik dibuat secara tertutup kerana paling penting orang mahu dengar bagaimana nak selesaikan masalah mereka,” katanya ketika ditemui sempena program mesyuarat “Town Hall” parti itu, di sini, malam tadi.
Syed Saddiq berkata, isu seperti kos sara hidup, pendidikan digital dan kemiskinan adalah isu yang sering dibangkitkan di Sabah.
Katanya, Muda Sabah juga telah ditekankan supaya lebih fokus untuk mengadakan sesi dialog dengan wakil komuniti dan masyarakat bagi mendekati serta memahami masalah mereka.
“Serius, kalau orang cakap kos sara hidup di semenanjung susah, di Sabah jauh lagi teruk, ini disebabkan polisi kabotaj yang teruk.
“Isu pendidikan digital, kemiskinan, jauh lebih teruk di Sabah, jadi saya rasa ini adalah antara isu-isu utama yang perlu diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata hubungan beliau dengan Presiden Warisan Shafie Apdal masih baik dan kerjasama antara parti yang dipimpin mereka juga masih kekal.
Terdahulu, Pengerusi Muda Sabah Amos Thien berkata Muda Sabah dijangka akan dilancarkan secara rasmi di negeri itu tahun ini.
Katanya, usaha ke arah itu juga sedang giat dilakukan dan berharap pelancaran Muda Sabah sempat dibuat sebelum PRU akan datang.
“Sekarang ini kami akan menjelajah ke seluruh 25 kawasan parlimen di Sabah untuk memperkenalkan Muda dan selepas itu barulah kita akan lancarkan secara rasmi dengan pelancarannya akan disempurnakan oleh presiden sendiri.
“Antara kawasan parlimen yang aktif dari peringkat akar umbi ketika ini ialah di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Ranau,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.