PETALING JAYA: Seorang pelari maraton wanita, Karen Loh Kher Heem, 52, sering melihat keajaiban berlaku pada dirinya terutama ketika dia bertarung dengan kanser pangkal rahim dan kini mampu untuk terus berlari.
Biarpun proses pemulihannya agak perlahan namun dia tidak pernah berhenti di situ dan tidak pernah puas untuk berlari.
Bekas peguam yang didiagnosis menghidap kanser pangkal rahim pada Julai 2017 itu kembali berlari selepas dua bulan menjalani pembedahan dan menghabiskan larian tiga kilometer ketika masih menerima rawatan kemoterapi.
Ketika diisytiharkan bebas kanser, dia mengambil bahagian dalam Marathon London 2019 selepas menyertai acara besar lain di Berlin (2013), Chicago (2014), Sydney (2016/2018) dan Shenzen (Disember 2017/2019).
Karen yang berasal dari Pulau Pinang telah menghabiskan larian dalam 85 acara maraton sejak kali pertama menyertai larian sejauh 42 kilometer (km) dalam Maraton Jambatan Pulau Pinang pada 2010 ketika berusia 41 tahun.
Dia mengharungi 48 acara maraton sebulan sekali antara 2011 dan 2014 serta pernah berlari sejauh 42km dan 10km pada hari yang sama.
Pada 2011, Karen menamatkan cabaran luar biasa apabila dia menyertai ultramaraton pertamanya (50k) di Singapura pada waktu pagi, disusuli dengan acara larian 10km di Putrajaya pada hari sama.
Dia melakukan cabaran itu bersama seorang rakan dalam ultramaraton dan kemudiannya berlari dalam Putrajaya Night Marathon pada hari sama demi mengumpul derma untuk Orang Asli.
“Bagi saya, berlari memberi keterujaan dan satu cara untuk meluahkan perasaan dan emosi,” kata Karen yang kini berlari sejauh 21km pada hujung minggu.
Karen kini bersiap sedia untuk ulang tahun ke-10 Maraton Wanita Malaysia (MWM) di Petaling Jaya pada 29 Mei, diikuti Ipoh (31 Julai) dan Iskandar Puteri, Johor (2 Okt).
Katanya, larian tahun ini terhad kepada kira-kira 1,000 pelari dalam pelbagai kategori disebabkan wabak Covid-19, berbanding ketika sebelum pandemik yang menyaksikan penyertaan seramai 8,000 orang.
Seperti dalam semua acara MWM, wang akan dikumpul untuk pelbagai tujuan apabila atlet berusaha untuk memberi penerangan tentang stigma dan merevolusikan penglibatan wanita dalam sukan.
Karen ialah wajah MWM, yang diasaskannya pada 2013, untuk memperkasa dan memberi inspirasi kepada wanita dan gadis supaya memecahkan halangan mental dan fizikal dalam larian jarak jauh.
Kemuncak acara MWM yang julung kali diadakan pada tahun itu ialah kunjungan oleh Kathrine Switzer, wanita pertama yang menyertai Maraton Boston secara rasmi dengan bib pada tahun 1967 ketika orang ramai menyangka penyertaan wanita dalam acara larian boleh menjejaskan rahim wanita dan menjadikan mereka mandul.
Seorang pelari maraton legenda Kenya, Catherine Ndereba yang juga pemenang dua kali kejohanan olahraga dunia, empat kali memenangi Maraton Boston dan dua pingat perak pada Sukan Olimpik 2004 dan 2008, memberikan lebih banyak inspirasi di MWM pada 2014. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.