`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 19, 2022

Teliti pelbagai perkara sebelum tamat MoU kerajaan-PH, kata Muhyiddin

 

Muhyiddin Yassin berkata, beliau difahamkan pihak pembangkang mahu MoU yang dimeterai kerajaan persekutuan dan PH itu dilanjutkan selepas 31 Julai ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin meminta kerajaan meneliti pelbagai perkara sebelum memutuskan hendak menamatkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

Katanya, perkara itu termasuk pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 yang membabitkan masa depan negara.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan itu.

“Perkara berkenaan membabitkan pentadbiran kerajaan persekutuan yang masih di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam pertemuan saya bersama pimpinan PN dan perdana menteri dua minggu lalu, ada bincang perkara berkenaan kerana saya dengar pihak pembangkang minta perkara itu dilanjutkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata, dalam pertemuan itu, Ismail belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.

“Jadi, saya tidak berfikir untuk membuat apa-apa kenyataan bagi pihak beliau dan itu terserah kepada perdana menteri untuk meneliti, sama ada wajar atau tidak kerana beliau ada banyak perkara yang perlu difikirkan berkaitan soal masa depan negara seperti pilihan raya dan sebagainya.”

Katanya, beliau difahamkan pihak pembangkang mahu MoU yang sepatutnya tamat Julai ini dilanjutkan.

Pada 14 April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan MoU kerajaan dan PH tidak akan dilanjutkan selepas tamat pada 31 Julai ini.

Keesokannya, Ismail dilaporkan berkata, beliau akur dengan keputusan MKT Umno tidak meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik selepas tamat tempohnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.