`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 27, 2022

Kos sara hidup tinggi, ADUN Sarawak mahu elaun hadir mesyuarat RM50 dinaikan

 

Elaun menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM50 tidak pernah dinaikkan sejak 42 tahun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Elaun menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kepada wakil rakyat wajar dinaikkan berbanding RM50 sehari, sejak 42 tahun lalu.

Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian, berkata nilai elaun yang tidak pernah dinaikan itu membuktikan wakil rakyat negeri itu ikhlas berkhidmat.

“Ini sebenarnya menunjukkan wakil rakyat kita ikhlas memberikan perkhidmatan mereka dengan kadar elaun (RM50) ini.

“Seperti apa yang disebut oleh YB Daro Safiee Ahmad, ianya tidak pernah berubah sejak sekian lama, hanya RM50 dari dulu lagi,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Terdahulu, ADUN Daro Safiee Ahmad, semasa penggulungan bahas usul penghargaan Yang Dipertua Sarawak, di DUN Sarawak, meminta elaun terbabit dikaji semula.

“Bagi saya kita sering terlepas pandang hal ini. Misalnya kaunselor hanya dibayar RM100 setiap kali bermesyuarat. Jadi kita lupa mereka yang berkhidmat ini tidak melihat keuntungan.

“Tetapi, dari sudut lain kita perlu sedar bahawa kos sara hidup sekarang tinggi dan semuanya memerlukan wang. Jadi memang wajarlah untuk kita tambahkan elaun mengikut peredaran masa,” katanya.

Sementara itu, Premier Sarawak Abang Johari Openg secara prinsip telah bersetuju untuk menaikkan elaun tersebut namun tidak menyatakan nilai yang ditambah.

Memetik laporan Bernama, pada 21 Mei 2013, Gaji bulanan ketua menteri (kini premier), timbalan ketua menteri (timbalan premier), menteri, pembantu menteri dan anggota dewan undangan negeri Sarawak akan naik sebanyak kira-kira tiga kali ganda di bawah rang undang-undang yang diluluskan DUN.

Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Gaji, Pencen dan Gratuiti) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji untuk Speaker DUN, timbalan speaker dan setiausaha-setiausaha politik.

Gaji untuk premier naik daripada RM13,000 kepada RM39,000; timbalan premier, RM11,500 kepada RM35,000; menteri kanan dan speaker DUN RM9,000 kepada RM30,000; menteri, RM9,000 kepada RM27,000; pembantu menteri dan timbalan speaker, RM7,000 kepada RM21,000.

Selain itu, gaji ADUN daripada RM4,500 kepada RM15,000 dan setiausaha politik, RM3,000 kepada RM9,000.

Rang undang-undang itu juga menetapkan kenaikan gaji itu berkuat kuasa dari 1 Jan 2012. Kali terakhir pindaan gaji dibuat, pada 1992.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.