`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 30, 2022

‘Tanding solo? Nak masuk kedai kopi pun kita takut diejek orang’, kata Ku Li

 

Tengku Razaleigh Hamzah membayangkan BN tidak boleh bersaing secara ‘solo’ pada PRU15 kerana ia bukan lagi gabungan yang mempunyai kekuatan mencukupi untuk berdepan rakyat.

PETALING JAYA: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno tidak lagi kuat seperti dulu sehingga “orang-orang kita nak masuk kedai kopi pun takut” diejek orang.

Justeru, katanya BN yang diterajui Umno wajar mengkaji semula pendirian bertanding “solo” pada PRU15.

“Kita pun berdepan dengan banyak isu Umno sendiri. Para pemimpin ada masalah dengan mahkamah, ada yang kena tindakan. Jadi mana kekuatan kita. Orang kita nak masuk kedai kopi pun takut. Masuk kedai kopi diejek orang dan sebagainya,” kata Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas naib presiden Umno itu.

“Kita kena bekerjasama dengan orang lain kerana kita tiada lagi kekuatan seperti dulu. Dulu kita mempunyai (ramai) rakan dalam parti (BN). Tetapi sekarang banyak… sudah tarik diri. Jadi kekuatan (Umno) dah hilang dan parti-parti yang masih kekal dengan kita sudah tidak ada kekuatan,” beliau dipetik berkata oleh Utusan Malaysia.

Pimpinan tertinggi Umno bermesyuarat hari ini dengan spekulasi bertebaran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin lain akan memberi fokus kepada penetapan tarikh membubarkan Parlimen untuk PRU15 diadakan.

Zahid sebelum ini mengumumkan BN yang diterajui Umno akan bertanding “solo” pada PRU15. Namun, kini timbul kembali desas-desus parti itu mungkin menjalin kerjasama politik dengan PAS sekiranya parti pimpinan Abdul Hadi Awang memilih tidak lagi bersekutu dengan Bersatu yang menjadi musuh politik Umno.

Tengku Razaleigh membayangkan BN tidak boleh bersaing secara “solo” pada PRU15, kerana ia bukan lagi gabungan yang mempunyai kekuatan mencukupi untuk berdepan dengan rakyat.

“Kita nak solo? Baguslah kita jadi solo kalau kita kuat. Jika nak berkempen mengenai parti, kita perlu bersedia dan menjawab banyak soalan yang ditimbulkan oleh rakyat, jadi mana kekuatan kita,” tambahnya.

Tengku Razaleigh juga mengingatkan parti itu mengenai risiko menampilkan pemimpin yang terpalit kes rasuah sebagai calon PRU15.

“Kita mungkin menjejaskan imej parti itu sendiri dan jadi bahan ketawa serta percakapan orang. Saya rasa kita ada ramai orang lain lagi yang boleh dikemukakan.” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.