`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 2, 2023

Apa persamaan gusti dan politik?

 

Saya masih ingat pertengahan 80-an dulu memang satu dunia dilanda demam gusti. Di mana-mana tidak semestinya di rumah tetapi di warung, dalam bas ekspres malah di mana saja asal ada orang awam berkumpul di situ akan dipasang video gusti. Kedai-kedai menyewa pita video VHS tumbuh banyak dan video-video gusti cukup laku disewa pelanggan.

Perkembangan sukan gusti ini pula cukup pantas. Sebuah kejohanan gusti besar seperti WrestleMania misalnya tidak sampai seminggu berlangsung di Amerika sudah sampai di Malaysia dan dapat ditonton melalui pita video yang boleh disewa di kedai. Di televisyen pun ada slot rancangan gusti, di akhbar tabloid mingguan juga pasti ada satu muka surat diperuntukkan khas untuk peminat gusti.

Majalah bulanan berkonsepkan gusti juga muncul di pasaran. Dari kanak-kanak hinggalah orang tua semuanya bercerita tentang gusti. Di warung minum secawan teh pun boleh duduk berjam-jam melayan gusti walaupun pemilik warung mengulang pasangnya berkali-kali.

Nama-nama penggusti cukup dihafal. Hulk Hogan, Ultimate Warrior, Randy ‘Macho Man’ Savage, King Kong Bundy dan lain-lain melekat dalam kepala. Begitu juga beberapa gerakan dan teknik yang mereka lakukan seperti cekak banting (choke slam), cengkam unta (camel clutch) atau kunci kaki (figure four leglock) ditiru kanak-kanak seperti kami ketika bermain bersama kawan-kawan. Pak cik dan mak cik bersorak melihat aksi hebat penggusti manakala kami kanak-kanak buka gelanggang sendiri dan mencuba beberapa gaya.

Apa yang melucukan ialah kami kanak-kanak dan juga orang tua benar-benar percaya gusti itu betul, bukan sekadar sukan hiburan. Akan kedengaran pak cik berkomentar, “dia ni dulu kawan baik tapi sekarang bermusuhan,” apabila melibatkan dua seteru bertarung kerana sebelum itu kedua penggusti tersebut bersahabat. Kami semua cukup percaya kecederaan lutut Tito Santana akibat dihentak dengan kerusi adalah benar. Kami sedih apabila tulang rusuk Hulk Hogan patah dihempap King Kong Bundy walhal itu semua hanyalah sebuah susunan cerita untuk merancakkan sukan hiburan itu.

Kami pada waktu itu tidak tahu apa itu “kayfabe”. Kayfabe adalah istilah dalam gusti di mana segala cerita rekaan dipelihara betul-betul rahsianya seolah-olah ia adalah benar di dalam atau di luar gelanggang. Kayfabe bukan saja sebuah rekaan tentang kecederaan, ia termasuk juga rekaan apabila The Undertaker dikatakan adik-beradik dengan Kane (di mana sehingga hari ini masih ramai orang dewasa mempercayainya) padahal tidak ada pertalian darah pun.

Perseteruan kedua “adik-beradik” ini cukup mendebarkan. Kayfabe adalah rekaan apabila penggusti didaftarkan dengan ketinggian dan berat badan yang dilebih-lebihkan. Andre The Giant misalnya tidaklah ketinggiannya mencecah sehingga tujuh kaki empat inci, sebaliknya hanya hampir tujuh kaki sahaja. Abdullah The Butcher bukanlah berasal dari Sudan tetapi orang Amerika. Semua ini hanyalah penyedap cerita dan pelaris perniagaan yang kononnya persekutuan gusti ini bertaraf dunia kerana penggusti-penggustinya datang dari seluruh ceruk dunia.

Rancangan gusti ini direka “storyline”-nya dengan episod drama yang menarik. Seperti cereka wayang mesti ada persahabatan, pengkhianatan, perebutan, dendam dan pembalasan. Seperti politik juga, tauke pertubuhan gusti akan mengatur naik dan jatuh seseorang penggusti mengikut populariti mereka demi keuntungan perniagaan. Situasi politik dunia diambil kira bagi membuat penonton turut berasa dekat.

Contohnya ketika Perang Teluk berlaku awal 1990, World Wrestling Federation (Persekutuan Gusti Dunia atau WWF) mencipta karektor baharu bagi penggusti Iron Sheik dengan menggunakan nama Colonel Mustaffa bagi menggambarkan seperti sosok Saddam Hussein. Begitu juga penggusti Nikolai Volkoff sebelum memulakan perlawanan akan menyanyikan lagu kebangsaan Soviet Union untuk membuat sentimen penonton terbakar.

Ini sebagai petunjuk bahawa era Perang Dingin (Cold War) Amerika dan Rusia tidak pernah tamat. Penggusti juga dicorakkan watak mereka oleh pertubuhan gusti ini. Ada yang menyolekkan wajah untuk nampak lebih ganas seperti pahlawan perang. Ada yang menggelarkan dirinya gila termasuk memakai kostum seperti pengawal penjara, penggali kubur, ahli sihir, pegawai pemungut cukai dan lain-lain. Gimik. Ada yang membawa gunting besar, membawa ular, membawa anjing atau burung.

Macam-macam! Untuk penggusti yang diletakkan dalam kumpulan disukai peminat digelar “baby face” manakala penggusti yang dirancang untuk dibenci peminat dan gemar melanggar peraturan digelar “heel”.

Penggusti Stone Cold Steve Austin dianggap wira oleh penonton apabila wataknya dilihat sebagai pemberontak yang bergaduh dengan tauke WWF (kini ditukar kepada WWE – World Wrestling Entertainment) itu sendiri. Stone Cold adalah “anti-hero” lambang kaum pekerja yang melawan majikan penindas. Penonton bersorak apabila tauke WWE Vince McMahon dihentak oleh Stone Cold.

Seperti saya kata tadi, ini adalah kayfabe tetapi ramai yang percaya. Namun jika ada yang sejak dari awal memang dah tahu ia hanya rekaan tetap terhibur dan seronok melayannya.

Gusti mengajar saya memahami dunia politik. Dalam gusti tiada kawan yang kekal atau musuh selamanya. Hari ini mungkin mereka berkawan tetapi esok mereka bergaduh sampai melibas menggunakan kerusi besi. Bertarung sehingga diusung ke bilik persalinan dengan berlumuran darah. Tiba-tiba bulan depan mereka bersekutu kembali untuk melawan pencabar lain pula.

Begitulah gusti menjadi sekolah politik saya. Entah kenapa sewaktu meminati sukan gusti ini saya melihatnya dari sudut itu. Sudut sepak terajang politik. Sebab itu saya tidak hairan apabila seorang politikus hari ini berdegar-degar mencaci lawannya sebagai kaki rasuah atau penyamun siap menyanyi-nyanyi lagi alih-alih esok mereka berpeluk dan bersatu membentuk kem.

Begitu juga apabila saya melihat seorang politikus berpeluk dengan politikus lain, saya tahu tidak semestinya mereka benar-benar baik kerana di belakang tabir juak-juak mereka sedang merancang untuk saling menjatuhkan. Apa saja kelakuan mereka itu semua sandiwara, semua wayang.

Saya menyarankan anda yang meminati gusti tetapi belum pernah mendengar istilah kayfabe harus belajar dan mesti tahu apa maksudnya. Dalam sukan gusti ada kayfabe. Dalam politik ada sandiwara. Sama saja. Sandiwara itu tiada bezanya dengan kayfabe! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.