`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, April 3, 2023

Sembang hal lagu-lagu raya

Dulu-dulu malah sesekali sekarang ini sering saya dan kawan-kawan berbual tentang lagu-lagu hari raya yang pastinya akan berkumandang di radio, televisyen, mahupun di pusat beli-belah apabila datangnya Ramadan. Kami akan mengupas lagu-lagu ini yang telah pun kami dengar sejak celik sahaja mata ke dunia sehinggalah munculnya lagu-lagu raya baharu dari generasi ke generasi. Betapa lagu raya juga turut mewarnai suasana Ramadan serta Syawal kita selama ini. Tak ada lagu raya maka suasana raya terasa pudar.

Persoalan yang sering dibangkitkan ialah mengapa kebanyakan lagu raya kita nadanya sedih-sedih belaka? Tidak sahaja lagu, ia berjangkit juga di filem atau drama TV. Apakala kisah raya sahaja mesti nadanya melankolik, terkenang-kenang orang yang telah tiada, terkenang kampung halaman yang ditinggalkan walaupun tiap-tiap bulan balik kampung juga. Mengapa?

Cuba lihat filem-filem atau lagu-lagu Gong Xi Fa Cai kedengaran amat bersemangat, rancak, dan bertenaga. Kenapa kita sedih meleweh? Ini menurut perbincangan kami kerana hari raya itu sudah sebati bersemenda dengan budaya Melayu itu sekali. Aidilfitri khususnya sudah dianggap oleh orang Melayu hari kebesaran bangsa juga selain perayaan agama. Jadi, hari raya merayakan rasa kecintaan terhadap akar budaya itu sendiri.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Fitri itu fitrah, maka naluri orang kita kembali kepada fitrah yang asalnya dari kampung, menghargai tanah tumpah darah, mencintai semangat kekeluargaan dan persaudaraan, budaya gotong-royong, dan bermuafakat. Itu dah ada mengalir dalam darah kita. Lalu, apabila ada kehilangan pada salah satunya, kesedihan tersebut akan dikenang-kenang apabila tiba hari raya. Kerinduan pada sesuatu yang tak dapat dirasai di luar tempat asal kita itulah menggamit semangat untuk pulang ke kampung. Upacara balik kampung untuk beraya itulah menjadi budaya dan tradisi kita. Walaupun setiap bulan anak-anak ini pulang juga ke kampung menemui orang tua tetapi aura hari raya tetap juga memanggil untuk pulang. Tak dapat pulang beraya, menangis. Begitu sekali keramatnya hari raya.

Atas sebab itulah lagu Balik Kampung nyanyian Sudirman turut dimasukkan ke dalam senarai wajib lagu raya walhal lagu tersebut terbit di pasaran bukan pada musim perayaan. Tiada perkataan hari raya pun di dalam lagu tersebut tetapi Balik Kampung mesti dinyanyikan menjelang hari raya untuk menyemarakkan lagi rasa ingin balik kampung buat merayakan hari mulia ini. Di kampung, pada hari raya kita berkumpul meraikan semula apa yang ‘hilang’ sewaktu berada di perantauan. Begitulah sentimentalnya kita dan inilah yang dirakamkan pada lagu-lagu raya kita. Ia bernada sedih dan merindukan sebuah kehilangan.

Dalam banyak-banyak lagu hari raya bernada sedih, kami sepakat mengkategorikan lagu Cahaya Di Aidil Fitri nyanyian kumpulan Black Dog Bone lagu raya yang pesimis lagi negatif. Melodinya, susunan muziknya serta alunan vokal Jatt memang sedap tetapi senikatanya terlalu melemahkan semangat. Benar ia hanyalah sebuah lagu tetapi bunyinya seakan orang yang sudah putus harapan.

“Siapakah yang sudi
menghulurkan simpati
kepada nasibku ini
Agar dapat kurasa nikmat di hari raya
seperti insan yang lain”

Tetapi pada rangkap akhir ‘mamat’ di dalam lagu ini menaruh harapan ‘berilah peluang cahaya di Aidilfitri’. Itulah sedikit penyelamat untuk dijadikan modal mempertahankan semangat yang cukup lemah. Kesimpulan oleh kami, lagu ini biarpun sedap tetapi mengheret orang untuk terus berasa lemah dan kerdil serta terlalu mengharapkan simpati orang lain. Tidak membina, bagi kami. Kita mahukan lagu raya yang mampu membangkitkan rasa gah dan besar!

Ads by Kiosked

Dua buah lagu hari raya nyanyian M Nasir bagi kami lagu raya terbaik dan membuka pengertian yang lebih besar terhadap makna raya itu sendiri. Lagu Satu Hari Di Hari Raya itu sendiri ‘membungkus’ semua isu raya yang dilagukan dalam kebanyakan lagu raya lain menjadi satu. Tanpa perlu ada lemang, wajik, ketupat, atau dodol – bait yang menukilkan kata-kata ‘ku dengar irama yang sungguh indah…’ itu menterjemahkan amalan tradisi budaya dan agama. Apatah lagi dilengkapkan dengan rangkap-rangkap seterusnya menjadikan ia lagu raya yang cukup pakejnya:

“ku lihat wajah suci ibuku,
ku lihat wajah kasih ayahku,
ku gembira
Mungkin inilah dia kebahagiaan”

Sebuah lagi lagu raya M Nasir ialah Salam Dunia mengajak kita pergi meneroka erti hari raya dengan lebih luas, di luar kerangka yang selalu kita duduk selesa. Kita diajak menghayati raya setakuk lagi selepas balik kampung halaman, mengacau dodol, dan menganyam ketupat, bersalam-salaman maaf zahir dan batin. Itu kita dah biasa. Salam Dunia nyanyian M.Nasir mengajak kita melihat erti raya di dunia luar sana.

‘Mereka yang dilanda derita
Redalah harimu kan tiba
Cahaya kekasih yang benar
Menghapus semua api kemarahan
Inilah hari kita tiada lagi rasa ketakutan’

Orang kita mesti berjiwa besar dan sentiasa berusaha untuk maju berbanding sebelumnya. Itu pengajarannya dan hari raya hari merayakan kejayaan melangkah dari takuk sebelumnya ke maqam seterusnya.

Yang menariknya pula lagu raya Bersabarlah Sayang nyanyian Sanisah Huri dibangkitkan oleh rakan saya Rusnizam Mahat, seorang wartawan, sebagai lagu raya misteri. Ketika lagu-lagu raya lain menggambarkan suasana biasa kita menyambut hari raya, lagu Bersabarlah Sayang membawa kita ke sebuah persoalan penuh teka-teki. Apa yang telah berlaku kepada penulis senikata lagu ini? Apakah ilhamnya berdasarkan pengalaman peribadi atau ada kaitan dengan kenalan rapat? Perhatikan bait-bait di bawah:

Ads by Kiosked

“Pada mereka yang tak mengerti
Menuduh dirimu
di jurang kesalahan saja
Ku tak sampai hati
Biarkan engkau sendiri
Tetapi diriku dan juga temanmu
Yang tahu kisah derita dan luka di dada
Hanyaku harapkan kau harus bersabar dan bertenang selalu”

Begitulah penangan sesebuah lagu kepada kita tidak kiralah lagu cinta, lagu patriotik atau juga lagu hari raya. Sedikit-sebanyak ia akan mempengaruhi kita, jangan kita nafikan. Duduklah bersendirian atau berjauhan dan dengarlah lagu pasti ada lagu yang akan membuat kita terusik. Lagu bukan sekadar hiburan, peneman jiwa, atau penghibur hati malah lagu mampu membentuk diri seseorang. Anda suka lagu raya yang mana dan mengapa? Pasti ada sesuatu di dalamnya yang membuatkan anda menyukainya. Ya, anda berhak memberi pandangan terhadap sebarang bentuk karya yang sampai kepada anda. Layan! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.