`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 29, 2023

Mahathir dengan ‘Green Wave’

 

Suka beliau atau benci beliau, tidak dinafikan Dr Mahathir Mohamad bijak mencari perhatian. Ada sahaja rencana untuk kekal relevan atau kelihatan relevan. Ini sememangnya penting buatnya terutama setelah kalah teruk pada pilihan raya lalu, lebih-lebih lagi permohonan Gerakan Tanah Air pimpinannya untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional ditolak dan deklarasi Melayunya disambut dingin.

Terbaharu beliau berkicau di Twitter semalam “tak usahlah cuba menakutkan pemerintahan orang Melayu dengan menconteng mereka warna hijau”. Perlu dinyatakan kicauan beliau diberi tajuk “Green Wave”. Lantas saya sendiri terpanggil menulis mengenainya setelah agak lama tidak mengikuti perkembangan beliau.

“Green wave” atau gelombang hijau istilah mengenai kemenangan besar PAS pada PRU15 lalu di wilayah Utara dan Pantai Timur Semenanjung. Umum tahu hijau putih warna PAS. Jadi apa yang dimaksudkan Mahathir? FMT melihatnya begini. Mahathir kata rakyat tidak perlu takut dengan pengaruh gelombang hijau Perikatan Nasional. PAS duduk bersama Bersatu dalam PN. Lantas pelbagai persoalan timbul dengan terbitnya “tweet” Mahathir itu.

Sebelum bercerita lanjut, perlu dibaca “tweet” beliau keseluruhannya. Ia berbunyi: “Malaysia ditadbir kerajaan majoriti Melayu selama 60 tahun. Pembangunan yang pesat berlaku. Kaum bukan Melayu mencapai banyak kemajuan. Tak usahlah cuba menakutkan pemerintahan orang Melayu dengan menconteng mereka warna hijau.”

Siapa yang menakutkan “pemerintahan orang Melayu” yang Mahathir maksudkan? Pun begitu saya menyimpulkan begini: Bagi Mahathir selama 60 tahun kerajaan majoriti Melayu memerintah Malaysia, negara pesat membangun yang turut dinikmati kaum bukan Melayu. Oleh itu jangan menakutkan rakyat terhadap kerajaan Melayu hanya kerana mereka PAS, yang dilihat “hardliner” dan “extreme”.

Diulangi siapa yang menakut-nakut rakyat akan kerajaan PAS? Adakah boleh dianggap apa yang Mahathir katakan ialah PAS sekarang sebagai kerajaan Melayu-Islam mampu membawa pembangunan pesat seperti yang dibawa kerajaan majoriti Melayu masa lalu, dan orang bukan Melayu akan turut menikmatinya?

Ertinya Mahathir melihat PAS sekarang boleh atau sedang mentadbir Kedah, Kelantan, dan Terengganu dengan baik, maka tidak perlu ditakuti? Oleh itu, jangan dibimbangi jika hijau bergelombang pada PRN di enam negeri tidak lama lagi? Kemenangan besar PN dikatakan menggugat kerajaan pusat, atau setidaknya memberi tamparan hebat.

Tetapi bukankah Mahathir pernah menyelar PAS sebagai parti ekstrem, eksploitasi agama, dan menolak hudud anjuran PAS? Namun itu dahulu. Inilah keindahan politik. Kita maklum dalam politik tidak ada musuh atau kawan yang kekal. Yang kekal ialah kepentingan.

Ada ketika Mahathir amat memusuhi PAS namun ada waktu bermesra. Malah beliau pernah berdiri atas pentas PAS menyerang Tunku Abdul Rahman setelah dipecat Umno pada 1969. Semasa menjadi perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan, Mahathir bersama Presiden PAS, Hadi Awang, menghadiri Kongres Maruah Melayu pada 2019. Cukup setakat itu walaupun ada banyak contoh yang tidak perlu dihuraikan di sini.

Ads by Kiosked

Oleh itu, tidaklah memeranjatkan jika Mahathir memuji PAS kali ini. Ada rakan-rakan wartawan yang bertanya sesama sendiri adakah langkah seterusnya Mahathir akan menjalin kerjasama dengan PAS? Tidak ada jawapan daripada yang bertanya mahu pun yang mendengar. Cuma mengakui tidak ada yang mustahil dalam politik.

Ingat! Mahathir pernah kutuk keras DAP suatu masa dahulu tetapi berbaik, bekerjasama, malah pertahankan DAP.

Seorang pemerhati politik melihat apa yang dilakukan Mahathir sekarang bagai “beli jiwa dan sentimen Melayu”, dan juga mahu “beli” sokongan PN setelah partinya ditolak gabungan itu.

Kata seorang lagi pemerhati politik, Mahathir sedang menunjukkan sokongannya kepada apa dan siapa sahaja asalkan bukan Anwar Ibrahim. “Beliau sedang mencipta kekeliruan agar kepimpinan Anwar dilihat tidak menjaga kepentingan Melayu dan mesti ditentang,” katanya lagi.

Pemerhati politik yang disebut awal tadi bersetuju sambil berkata bukan memeranjatkan jika Mahathir cuba meraih sokongan Ahli Parlimen Umno yang tidak sehaluan dengan presiden mereka, Zahid Hamidi, agar “melakukan sesuatu untuk menumbangkan Anwar”. Betul atau tidak waullahualam. Yang jelas Mahathir tetap pandang Anwar musuh.

Apa pun ramai yang tabik dan angkat topi (atau songkok) terhadap Mahathir kerana pada usia lanjut tetap mahu bertarung dalam gelanggang politik. Namun ada juga penyokongnya yang angkat kaki. - FMT

Ads by Kiosked 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.