`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 29, 2023

Tak perlu sampai putus hubungan, Khalid jawab Umno Kelantan

 

Khalid Samad berkata Amanah kekal dengan pendirian membantah pengampunan diraja terhadap Najib Razak dan mahu pendirian itu dihormati.

PETALING JAYA: Amanah berharap hubungan parti itu di Kelantan dengan Umno tidak terputus susulan isu pengampunan diraja terhadap Najib Razak, kata Pengarah Komunikasi Khalid Samad.

Beliau berkata, Umno Kelantan perlu menghormati pendirian berbeza Amanah membantah pengampunan diraja diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

Katanya, penentangan terhadap ekstrimisme agama dan kaum perlu dijadikan keutamaan.

Ads by Kiosked

“Harap-harap tak begitu (putus hubungan) dan mereka hormati hak kita untuk berpendirian berbeza. Kita hormati hak mereka untuk memohon pengampunan dan tidak membantah tindakan mereka memohon (pengampunan).

“Begitu juga kita yakin mereka akan utamakan perjuangan kita bersama untuk menentang ekstremisme agama dan kaum,” katanya kepada FMT.

Semalam, Khalid berkata, pihaknya merayu supaya permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

Khalid yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Hari ini, membalas kenyataan Khalid, Umno Kelantan pertimbang memutuskan kerjasama dengan Amanah negeri itu jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan Najib.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, berkata rayuan pengampunan dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Khalid ketika mengulas lanjut berkata, tiada keperluan bagi Amanah menarik balik kenyataan mahupun mengemukakan permohonan maaf.

“Tak perlu (mohon maaf dan tarik balik kenyataan). Itu adalah pendirian Amanah (tidak setuju pengampunan kepada Najib) dan bukan pendirian peribadi saya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.