`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 8, 2023

Apa yang sedang berlaku sebenarnya?

 

Hanya badan kehakiman khususnya jawatankuasa etika badan kehakiman yang memutuskan kedudukan hakim. Bukan pihak lain. Ini hakikat. Ini semua pihak yang arif dengan undang-undang akur dan setuju. Dalam lain perkataan, jika ditanya siapa yang menentukan sama ada hakim melanggar etika jawapannya Badan Kehakiman. Bukan polis. Apatah lagi SPRM.

Oleh itu apa-apa tuduhan berkaitan Hakim Nazlan Mohd Ghazali tidak berbangkit. Sebab tidak ada apa yang boleh dibangkitkan. Tetapi apa yang sepatutnya bukan hal tercetus lagi seolah-olah ada hal. Semuanya kerana satu surat daripada Azalina Othman Said, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan reformasi) kepada Shafee & Co, peguambela Najib Razak. Aneh, pelik, dan menakjubkan.

Kata Azalina menerusi surat itu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas Nazlan menyimpulkan beliau (yakni Nazlan) melanggar kod etika hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International membabitkan Najib. Sekaligus, sama ada beliau sedar atau tidak, memberi ‘harapan’ kepada Najib dan peguamnya menghidupkan percubaaan untuk dilakukan semakan lagi, perbicaraan semula, atau mendapat pembebasan untuk bekas perdana menteri yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Umum tahu semua “legal avenue” untuk Najib sudah digunakan dan realitinya sabit kesalahan kekal setelah pelbagai mahkamah mendengar bermacam hujah serta melayani strategi dan taktik peguambela. Dengan berkatanya Azalina dalam suratnya bertarikh 20 Mac 2023 kepada Shafee & Co tentang pelanggaran kod dan konflik kepentingan, berdasarkan salinan laporan SPRM yang dipanjangkan kepadanya oleh agensi itu, seolah memberi nafas baharu kepada Najib dan pasukannya.

Namun kata Azalina, apa yang beliau katakan dalam suratnya kepada Shafee & Co ialah perkara yang sama beliau ucapkan di Dewan Rakyat sebelum ini. Nampaknya perlulah kita meneliti hansard untuk mengetahui apa yang dikatakan di Dewan Rakyat ketika itu.

Selain itu Azalina juga bertegas bahawa hanya badan kehakiman yang punya kuasa untuk menilai dan memutuskan berhubung tuduhan perlanggaran etika hakim. Pendirian beliau senada pakar undang-undang dan pihak lain yang arif tentang undang-undang, lantas apa perlunya Azalina mengutus surat kepada Shafee & Co?

Laporan SPRM itu dipanjangkan kepada beliau selaku menteri. Ertinya maklumat itu hanya untuk beliau sahaja. Bukankah itu rahsia antara SPRM dengan menteri? Di mana kebebasan SPRM apabila laporannya kepada menteri dikongsi dengan pihak ketiga? Apa perlunya Azalina mengutus surat kepada peguambela Najib?

Sejak bila seorang menteri terpaksa melayan sebuah firma peguam? Azalina juga dipetik menasihati peguam Najib perlu membuat permohonan rasmi kepada SPRM sekiranya mahu mendapatkan hasil siasatan terhadap Nazlan.

Azalina tentu punya alasan dan sebab tersendiri mengutus surat kepada Shafee & Co dan kata apa yang beliau kata. Namun walau apa pun sebabnya tindakannya merumitkan keadaan yang sepatutnya tidak rumit. Malah sekarang akibat pendedahan surat Azalina, ketidakadilan berlaku terhadap Nazlan kerana diri dan kredibiti tercalar.

Imbau kembali 23 Feb 2023. Mahkamah Persekutuan memutuskan hakim tidak punyai kekebalan daripada disiasat dan mereka boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang. Bagaimanapun, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, ia mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan badan kehakiman. Antara protokolnya ialah badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim.

Badan siasatan juga tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran atau izin hakim negara ketika siasatan, termasuk keputusannya untuk melakukan pendakwaan. Kata Tengku Maimun, dalam kes Nazlan ketua hakim negara tidak dimaklumkan berhubung perkara itu, sekaligus menunjukkan tiada niat baik dalam siasatan terbabit.

“Tiada niat baik” dalam siasatan membabitkan Nazlan. Masih terngiang-ngiang di telinga. Oh ya, perlu diingatkan bahawa Nazlan lah hakim yang menjatuhi hukuman penjara ke atas Najib. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.