`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 6, 2023

Badut yang berjalan kaki beratus kilo

 


Satu orang, bahkan sekumpulan pak cik, juga boleh mak cik, bisa disuruh atau dibayar untuk berjalan, berenang, atau berlari beratus-ratus kilometer untuk membadutkan diri demi membuktikan kewujudan ‘fendalisme Melayu’.

Fendalisme mungkin dieja vandalisme satu perbuatan merosakkan harta awam. Fendalisme juga boleh dieja feudalisme, kerana ternyata sisi vandalisme tadi ada pula wajah feudalismenya. Untuk memahami fendalisme Melayu ini kita boleh saja menerokai gagasan dan idea psikologi feudal yang dipersembahkan Syed Hussein Alatas dalam banyak karya-karyanya. Syed Hussein pemikir bangsa yang banyak memberi perhatian kepada budaya badut Melayu ini.

Fendalisme Melayu adalah pemikiran bahkan jiwa yang dihambakan, secara setia dengan melulu dan meluluh kepada personaliti tertentu; badan atau persatuan tertentu, atau nilai tertentu dan dengan cara pandang lulu dan luluh itu nanti akan terjelma budaya yang ciri-cirinya adalah;

Pertama, budaya mempertahankan apa sahaja yang dilakukan personaliti tertentu, badan atau persatuan tertentu, dan nilai tertentu ke tahap membela yang salah dan menghukum yang benar. Maka jangan mual bila kita melihat ada Melayu sanggup membadutkan diri untuk meramai dan menangis misalan di hadapan mahkamah, demi meneruskan sanjungan sedia ada kepada pemimpin yang telah terbukti bersalah dan melakukan jenayah. Atau akan ada Melayu sanggup berdoa depan Kaabah agar pemimpin yang bersalah ini dibebaskan segera, tanpa memikirkan kerosakan yang dilakukannya untuk nusa dan bangsa.

Kedua, budaya mengutamakan acara dan upacara (ceremonial) ke tahap mengatasi objektif. Sebagai contoh, pada 23 Mac lalu, menteri besar Terengganu menganjurkan sebuah majlis untuk 141 orang imam dan bilal bagi menerima wang tunai “one-off” RM200 daripada kerajaan negeri. Katanya ia sebagai penghargaan buat mereka yang berkhidmat untuk masyarakat. Padahal boleh sahaja wang itu dimasukkan ke akaun tanpa perlu bersusah payah hadir ke majlis demi upacara-upacaraan.

Ketiga, terdapat budaya yang wang atau harta pejabat, atau badan tertentu adalah wang atau harta pemimpinnya. Tidak ada garis pemisahan yang jelas. Ini berlaku ke peringkat ada pengarah pejabat tertentu mengerahkan pemandu kereta pejabat menghantarnya ke majlis pernikahan isteri kedua melangkaui sempadan. Konon untuk upacara khas, yang kemudian disedari pemandunya adalah upacara pernikahan bosnya. Pemimpin begini senang menyamar muluk dan sakral lantas diangkat melampaui pentadbiran Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan kerajaan perpaduan. Memang untung menjadi pemimpin dalam dunia Melayu.

Keempat, dalam masyarakat dengan fendalisme, pasti selalu ada kepercayaan tahyul yang kuat dan itu dilekatkan pada pimpinan tanpa ada rasionya. Maka akan ada tahyul kononnya pimpinan sekian dan sekian itu ‘kudus’ memandangkan beliau ‘wali’. Maka jika wali jangan sekali-kali dilengserkan, dan jika dijatuhkan pasti akan menyebabkan bencana terjadi. Apatah lagi jika ‘wali’ itu mendakwa pernah bermimpikan nabi berkali-kali.

Kelima, terdapat budaya mendahulukan ciri kepahlawanan dan kekuatan melebih-lebih dari budaya keilmuan dan kebenaran. Itulah sebabnya yang diperikan dalam Hikayat Hang Tuah ialah kebolehannya menumpaskan musuh bersilat terbang segala bagai; berbanding kebolehannya berbahasa sehingga 12 bahasa asing. Patutnya dengan bahasa yang beraneka itu banyak sudah Hang Tuah menerjemahkan karya asing, dan membawa pelbagai gagasan dan ilmu. Akan tetapi yang kekal ada sehingga lani ialah ilmu sihir, goda, membodoh, dan menundukkan wanita seperti Tun Teja.

Ciri-ciri budaya fendalisme Melayu yang semak ini berterusan dari dulu sehingga sekarang. Produk budaya fendalisme ini tidak lain tidak bukan ialah pembadutan bangsa dan melahirkan ramai badut-badut yang menyanggup untuk melakukan apa sahaja. Badut ini sanggup dikerah untuk pura-pura menangis tersedu-sedan di mana-mana acara jika diperlukan. Mereka boleh diminta bertakbir bertempik di mana-mana protes yang sebetulnya tidak diketahui apa puncanya. Acara-acara sarkas ini secara berjemaah, ini kerana jika dilakukan secara berkumpulan ia lebih menyeronokkan dan sedap secara emosinya. Apatah lagi selepas itu boleh makan-makan dan dapat huluran wang beberapa puluh.

Akan tetapi ada jenis pembadutan yang lebih tegar iaitu dilakukan secara solo. Maka kita akan mendapati ada badut yang sanggup mengenakan hanya tuala mandi dengan membawa baldi dan gayung untuk membuktikan kebodohan diri sendiri. Ada juga badut yang konon berjalan atau berlari beberapa ratus kilometer untuk menyatakan hasrat atau protes tertentu dan saat tiba di destinasi tidak pun berpeluh keringat. Kita ketawa menggelakkan dan geli hati. Tetapi ada badut lain yang sedang menyaksikan dengan sungguh beriman akan sarkas yang sedang dipentaskan ini.

Badut dalam sarkas memang berperanan melakukan kerosakan emosi. Justeru ada persamaan dengan fendalisme. Badut sarkas akan buat mengada-ngada kadang memainkan perasaan anak-anak. Sebabnya badut memang hidup dan menyala jiwanya bila ada orang mentertawakan. Justeru bila kita menyorakkan dan mentertawakan, ia akan terlebih galak, atau menjadi berganda retis. Badut politik dari budaya fandalisme juga tidak terkecuali. Lagi kita bantah, lagi tersungkit buntutnya. Lagi digunjing, lebih menyalak dia.

Penyakit fandalisme Melayu dalam bentuk pembadutan ini tidak muncul tiba-tiba. Ia penyataan atau manifestasi kesakitan Melayu yang dimanipulasikan oleh pemimpin tidak bertanggungjawab. Dalam hal ini tentulah pembadutan ini sama sekali tidak Islami. Apa yang Islamnya pada badut? Akan tetapi fendalisme menjadikan badut itu sebahagian masyarakat kita sehingga ada haji dan hajah sanggup membodoh diri demi agenda pihak tertentu.

Jika kita menghayati ajaran Islam yang sebenar, Islam mengajarkan kita untuk berani, merdeka, dan mencabar kebodohan melulu seperti yang diterapkan oleh musyrikin Mekah. Hal yang jahil dan salah bukan diwartakan sebagai kebaikan. Aspek yang jahat jangan diputihkan. Malang sekali ia berlaku kebalikan.

Hari ini pembadutan berleluasa dalam masyarakat kita, kerana ia sudah menjadi produk budaya kepada fendalisme dalam kalangan bangsa. Sebagai orang yang melihat perkembangan budaya ini, kita memang berasa khuatir ia akan mengukuh dan terus sebati. Penawarnya haruslah agama dan akidah, akan tetapi ia disulitkan bila yang mengesah dan menghalalkan pembadutan ini dalam kalangan para agamawan sendiri.

Ads by Kiosked

Jika kita serius ingin mengubatkan penyakit fendalisme ini, dan menghindar pembadutan; bangsa ini mestilah kembali kepada ajaran Islam yang benar-benar iaitu ajaran yang tidak menjadikan agama sebagai memo atau ole-ole kuasa. Ajaran yang menunggangkan agama untuk kepentingan kuasa. Itulah yang payahnya kerana selepas lama fendalisme, badut sendiri sudah jadi ‘wali’, dan membentuk ‘mazhab’ sendiri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.